Monday, June 28, 2010

RM50j bina pemecah ombak, jeti


Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my
2010/06/28

Projek 4 tahun beri manfaat kepada nelayan Bagan Ajam 

BUTTERWORTH: Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi membina pemecah ombak dan jeti nelayan yang akan memberi manfaat kepada nelayan di Bagan Ajam dan Pantai Bersih, di sini.
Projek berkenaan yang akan dilaksanakan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata projek itu yang menggunakan pendekatan keadilan sosial dalam Model Baru Ekonomi (MBE) dapat menyelesaikan masalah nelayan dan meningkatkan sosio ekonomi mereka. 

Ketika ini, nelayan mengalami pelbagai masalah seperti sukar ke laut apabila air surut dan sebaliknya, pencemaran, pantai berselut, hakisan dan kerosakan peralatan menangkap ikan serta bot. 

Beliau berkata, baru-baru ini, hampir 10 bot ditambat di jeti Pantai Bersih terbalik akibat dipukul ribut yang turut menyebabkan kerosakan peralatan menangkap ikan. 

“Projek itu disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 perlu disegerakan kerana membabitkan kepentingan rakyat berpendapatan rendah. Jadi, masalah yang sering menghantui nelayan dapat ditangani serta mendatangkan faedah ekonomi kepada mereka serta penduduk setempat," katanya. 
Beliau berkata demikian selepas melancarkan projek itu di Dewan Panorama Bagan Ajam, di sini, kelmarin. 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid; Pengarah Eksekutif MRCB, Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Pengarah Lembangan Sungai dan Zon Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ong Siew Heng. 

Terdahulu, Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor melawat Perpustakaan Desa Titi Mukim, Lubok Meriam dan Pajak Song di Titi Mukim. 

Ketiga-tiga perpustakaan itu yang sudah beroperasi, menjadi sumber rujukan utama penduduk di kawasan berkenaan terutama generasi muda. 

No comments:

Post a Comment