OSH: Perusuh Kyrgyz membakar kampung etnik Uzbek, membunuh penduduknya dan menyerang balai polis untuk mendapatkan lebih banyak senjata ketika sengketa kaum merebak ke kawasan baru di selatan Kyrgyzstan.
Kerajaan sementara negara Asia Tengah itu mengarahkan tentera menembak mati perusuh. Bagaimanapun, langkah itu gagal menghentikan keganasan yang setakat ini sudah meragut lebih 100 nyawa dan mencederakan 1,250 penduduk sejak ia meletus Khamis lalu.
Menurut laporan lain, seorang pegawai kanan tentera berkata, perusuh Kyrgyz membunuh 30 penduduk sebuah kampung di Jalal-Abad, bandar berhampiran Osh apabila sengketa berkenaan merebak ke kawasan itu semalam.
Sengketa itu menyebabkan etnik Uzbek melarikan diri ke sempadan dengan Uzbekistan.
Kerajaan Uzbekistan, lebih 75,000 etnik itu sudah menyeberang sempadan untuk menyelamatkan diri.
Sebahagian wanita dan kanak-kanak etnik Uzbek ditembak mati ketika cuba melarikan diri.
Rusuhan itu adalah yang paling buruk sejak bekas Presiden Kurmanbek Bakiyev digulingkan April lalu.
Etnik Uzbek menyokong kerajaan sementara Kyrgyzstan dan ramai kaum Kyrgyz di selatan negara itu menyokong kerajaan pimpinan Kurmanbek. Kebakaran yang dilakukan perusuh memusnahkan sebahagian besar bandar Osh, bandar kedua terbesar Kyrzystan. - Agensi
No comments:
Post a Comment