Monday, June 14, 2010

Pasangan kekasih mungkin kenal pembunuh mereka



SHAH ALAM – Polis tidak menolak kemungkinan individu yang menembak mati seorang pemilik kelab malam dan teman wanitanya di Taman Maluri, Cheras, baru-baru ini adalah individu dikenali kedua-dua mangsa itu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, pihaknya percaya mangsa dan pembunuh saling mengenali kerana terdapat beberapa maklumat menunjukkan ada kaitan antara mereka. 

Katanya, kejadian berlaku sangat teratur dan cara pasangan itu dibunuh juga seolah-olah dirancang teliti. 

“Bagaimanapun, siasatan setakat ini, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis, masih belum dapat mengesan identiti individu yang terbabit,” katanya semalam. 

Daripada siasatan awal, katanya, polis tidak menolak kemungkinan motif dendam. 

“Berdasarkan cara tembakan di kepala, polis percaya tembakan itu dilepaskan dari jarak dekat," katanya. 

Polis turut menemui 13 kelongsong peluru di tempat kejadian. 

Menurutnya, polis memerlukan sedikit masa bagi mengumpul lebih banyak bukti dan maklumat lanjut berhubung kes tersebut bagi menjejaki individu yang terbabit dalam pembunuhan itu. 

“Kami sudah ambil rakaman percakapan beberapa saksi, ahli keluarga dan pengawal keselamatan kondominium berkenaan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,“ katanya. 

Beliau berkata, polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis atau talian Rakan Cop Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau 03-9284 2222 (Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras). 

Dalam kejadian 11 Jun lalu, pasangan kekasih, iaitu K C Wong, 52, dan Leong Yang Chen, 32, baru pulang kerja apabila ditembak dari jarak dekat di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium. 

Kedua-duanya mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment