Monday, June 14, 2010

Kuala Nerus kurang pembangunan



KUALA NERUS – Agensi pelaksana yang terbabit dalam perancangan pembangunan di kawasan Kuala Nerus diminta lebih telus dan bersikap adil dalam pengagihan peruntukan tahunan bagi memastikan pembangunan yang dirancang mampu dilaksanakan sebaiknya. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, situasi itu jelas berlaku apabila banyak pembangunan di kawasannya jauh terpinggir jika dibandingkan dengan Bandaraya Kuala Terengganu. 

“Saya lihat banyak perancangan di sini hanya tinggal perancangan, sedangkan kawasan ini juga terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. 

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkenaan lebih peka terhadap keperluan yang seharusnya dirasai masyarakat di sini kerana masih banyak lokasi yang menjadi tumpuan tidak dibangunkan dengan sebaiknya seperti Pantai Teluk Ketapang yang sering mendapat tumpuan pengunjung,” katanya pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Pejabat Parlimen, di sini. 

Menurutnya, kekesalannya itu berasas apabila jelas terbukti kawasan Kuala Nerus masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan terutama membabitkan keperluan masyarakat setempa:t. 

“Pihak berkenaan perlu wujud dengan satu mekanisme terutama apabila membabitkan pentadbiran untuk dua kawasan seperti yang berlaku kepada Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya. 

Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 231 daripada 479 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya menempatkan diri di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) menerima wang pendahuluan maing-masing. 

Jalinan kerjasama antara PTPTN dengan Ahli Parlimen seluruh negara dalam menyalurkan wang pendahuluan kaedah terbaik membantu pelajar memperoleh pinjaman terutama membabitkan golongan kurang berkemampuan.

No comments:

Post a Comment