Monday, June 14, 2010

Lawatan sulung Moussa ke Gaza


MOUSSA memberi reaksi kepada pertanyaan pada satu sidang akhbar semalam, di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengalami kerosakan akibat serangan Israel pada 2008. - REUTERS


RAFAH 13 Jun - Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa yangpertama kali mengunjungi Gaza hari ini selepas wilayah itu diletakkan di bawah sekatan ketat Israel-Mesir sejak 2006 menegaskan, kekangan ke atas Genting Gaza perlu dihentikan.
"Kami berada di sini untuk mengatakan bahawa sekatan ini perlu dihentikan dan pendirian Liga Arab adalah jelas.
"Bukan sahaja negara Arab, seluruh dunia juga perlu menyokong rakyat Palestin yang membantah sekatan terhadap Gaza dan apa yang berlaku di wilayah Palestin yang dijajah terutamanya di timur Baitulmaqdis," kata beliau merujuk kepada pembinaan penempatan haram Yahudi di sana.
Kunjungan Moussa dibuat dua minggu selepas komando Israel menyerang flotila yang membawa bekalan bantuan ke Gaza bagi mencabar sekatan rejim Zionis, yang membunuh sembilan rakyat Turki dalam insiden itu.
Moussa tiba di kawasan Palestin iaitu lintasan sempadan Rafah lebih kurang pukul 10 pagi waktu tempatan (pukul tiga petang waktu Malaysia) di mana beliau disambut pemimpin Hamas, begitu juga dengan perwakilan-perwakilan Palestin.
Kunjungan itu merupakan yang pertama buat beliau yang mengetuai 22 negara anggota Liga Arab, selepas Hamas mengambil alih pemerintahan pada Jun 2007 berikutan penggulingan pergerakan sekular Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Fatah.
Bercakap kepada pemberita di lintasan sempadan itu, Moussa sekali lagi menyeru Hamas dan Fatah supaya menyelesaikan pertelingkahan mereka.
Sementara itu, pegawai Palang Merah Iran, Mojtaba Majd, dalam satu laporan hari ini memberitahu, dua buah kapal diuruskan sebuah kumpulan kemanusiaan sudah bersedia dan sedang menanti kelulusan Kementerian Luar untuk ke Gaza.
"Kami bersedia untuk ke Gaza tetapi perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Luar mengambil kira situasi politik, ketenteraan dan keselamatan di rantau itu," katanya seperti yang dipetik agensi berita Mehr sambil menambah, kapal-kapal itu yang membawa bekalan makanan serta perubatan dijangka berlepas minggu ini.
Tambah beliau, lebih 100,000 rakyat Iran telah berdaftar sebagai sukarelawan di kapal kedua, tetapi katanya hanya 'individu yang mempunyai kepakaran' akan dihantar ke wilayah Palestin. - AFP

No comments:

Post a Comment