KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengarahkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31, dijalankan secara tertutup.
Hakim Syarie, Abdullah Man memutuskan demikian setelah menerima permohoanan peguam plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, yang menfailkan kes pengesahan lafaz cerai tersebut.
Menurut Zainul Rijal, perbicaraan tersebut perlu dijalankan secara tertutup sebagai menghormati Tuanku Ismail sebagai pemerintah memandangkan perbicaraan tersebut menyentuh hal peribadi Sultan Kelantan.
Sementara itu, peguam defendan, Fakhrul Azman Abu Hassan pula tidak membantah permohonan tersebut dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.
Abdullah kemudian mengarahkan perbicaraan tersebut dijalankan secara tertutup dan orang ramai diminta meninggalkan gelari awam mahkamah.
Pada perbicaraan semalam, Elia Suhana hadir ke mahkamah.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Zainul Rijal memberitahu, seramai tiga daripada enam saksi bagi pihak plaintif telah memberi keterangan masing-masing.
Menurut beliau, salah seorang saksi yang telah memberi keterangan semalam ialah Nik Rorhana.
"Mahkamah telah menetapkan tarikh sambung bicara kes tersebut pada 30 Jun dan 4 Julai depan kerana masih terdapat saksi yang belum memberi keterangan," kata beliau.
No comments:
Post a Comment