Monday, June 14, 2010

PGPO bimbang makanan, ubat dirampas Zionis boleh tercemar





2010/06/14

SEREMBAN: Penasihat Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Datuk Mukhriz Mahathir, bimbang barang makanan dan ubat-ubatan yang kini dirampas oleh Israel boleh menimbulkan kemudaratan jika dihantar terus ke Gaza. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Turki dan Jordan sedang berunding dengan Israel untuk menda-patkan semula barangan yang dirampas sebanyak 1,500 tan itu.
Katanya, pihak yang berunding yakin barang berkenaan akan dikembalikan atau dihantar terus kepada penduduk Palestin di Gaza.
“Bagaimanapun, saya was-was sikit kalau barang makanan dan ubat-ubatan dihantar terus. Pelbagai perkara boleh dilakukan dengan barang berkenaan dicemarkan atau dirosakkan. 

“Akhirnya bantuan itu bukan membantu, tetapi memudaratkan. Kita tidak boleh percaya sangat rejim Zionis,” katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan Pantai dekat sini, semalam. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Seremban yang juga ketua Cawangan itu, Datuk Ishak Ismail. 

Mukhriz berkata, usaha juga sedang dilakukan untuk mendapatkan semula tujuh kapal yang ditahan Israel, termasuk dua kapal yang sebenarnya adalah sumbangan rakyat Malaysia melalui PGPO. 

Barang makanan dan ubat-ubatan itu dibawa dengan kapal oleh konvoi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, baru-baru ini. 
Bagaimanapun, komando rejim Israel menyerbu dan merampas kapal berkenaan. 

Walaupun usaha menghantar bekalan itu gagal, beliau berkata perbincangan sedang dijalankan dengan bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway, yang mahu menghantar konvoi 60 kapal untuk misi yang sama, September depan. 

"Kita akan melihat macam mana boleh membantu usaha itu," katanya. 

Sementara itu, katanya, usaha perlu dilakukan sebagai tekanan terhadap rejim Zionis Israel supaya tidak menindas penduduk Palestin. 

“Usul yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kemukakan di Parlimen baru-baru ini, adalah sama tegas seperti kenyataan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyin Erdogan. Selepas ini, kita mahu melihat tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutama Majlis Keselamatan, terutama membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment