Monday, June 14, 2010

Buntu cari ayah kandung

KUALA LUMPUR: “Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai ayah kandung. Hanya namanya saya tahu iaitu Abdullah Hassan.
“Tapi, disebabkan ketiadaannya, pernikahan saya yang sepatutnya diadakan pada 9 Jun lalu terpaksa ditangguhkan,” kata Junaidah Mohamed Nor, 22, yang terpisah dengan ibu bapanya sejak dilahirkan. Junaidah yang diserahkan kepada keluarga angkat sejak dilahirkan, berkata dia mula mencari ibu bapanya pada 2007 sebaik dimaklumkan dia anak angkat kepada pasangan Mohamed Nor Yusof, 59, dan Aminah Mohd Zin, 62. “Saya pernah mencari keluarga kandung berdasarkan alamat di dalam sijil kelahiran iaitu di Kampung Pulau Lumut, Klang, namun hampa kerana mereka sudah berpindah,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, baru-baru ini.
Katanya, dia buntu memikirkan cara untuk menjejaki keluarga kandungnya memandangkan tidak banyak maklumat yang diperoleh. “Walaupun tidak pernah menatap wajah mereka, saya berharap mereka tampil dan ayah boleh menjadi wali pernikahan saya. “Saya harap ayah menghubungi saya sebelum 28 Jun ini kerana sebutan kes bagi mendapatkan kebenaran menggunakan wali hakim akan diadakan pada tarikh itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,” katanya.

Oleh itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarganya boleh menghubunginya di 019-6916051 atau hadir ke mahkamah pada hari sebutan kes itu.

No comments:

Post a Comment