Monday, June 14, 2010

12 miskin jalani projek akuakultur



Tan Mohd. Aminuddin Ishak sedang melepaskan anak ikan patin ke sangkar di Kampung Paya Pasir, Maran, baru-baru ini.


MARAN 13 Jun – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM180,000 bagi menjalankan projek ternakan ikan dalam sangkar membabitkan 12 penduduk miskin tegar di Kampung Paya Pasir, Chenor dekat sini pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, program yang dikenali ‘Projek Juara‘ itu diusahakan secara bersama dengan dua pembimbing yang dikenali sebagai ‘mentor’ yang dikenal pasti telah berjaya dalam bidang akuakultur.
‘‘Pelaksanaan projek ini bermula pada Julai tahun lalu itu mula menampakkan hasil positif dalam menghapuskan kemiskinan tegar sebelum akhir tahun ini.
‘‘Projek ternakan ini melibatkan dua lokasi dengan peruntukan sebanyak RM90,000 setiap satu yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM180,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran ‘Projek Juara’ peringkat Daerah Maran di Kampung Paya Pasir baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Mutalib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.
Tan Mohd. Aminuddin yang juga ADUN Chenor menjelaskan, peserta projek terdiri daripada kumpulan miskin tegar atau miskin yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.
Menurutnya, pemilihan mentor pula dibuat oleh Pejabat Perikanan Daerah Maran iaitu mereka yang terdiri daripada individu yang berjaya dalam bidang ternakan ikan selama lebih 10 tahun.
Tambah beliau, perjalanan projek itu sentiasa dilaporkan ke mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Sasar Pembasmian Kemiskinan Daerah Maran.
‘‘Dengan bimbingan dan pemantauan Pejabat Perikanan daerah, projek ini akan berjaya mencapai sasaran meningkatkan taraf ekonomi penduduk,’’ katanya.
Tan Mohd. Aminuddin menegaskan, objektif pelaksanaan projek itu adalah untuk membantu kerajaan negeri mencapai sasaran miskin tegar sifar pada penghujung tahun ini dan mengurangkan kadar miskin kepada 2.8 peratus.
Sehingga kini, katanya, jumlah golongan miskin dan miskin tegar mengikut e-Kasih bagi daerah ini ialah seramai 744 orang.
Menurutnya, di bawah senarai Jawatankuasa Kumpulan Sasar daerah pula terdapat seramai 151 orang miskin dan miskin tegar yang masih menunggu untuk didaftarkan di bawah e-Kasih.
‘‘Bagi memantapkan lagi projek ini, Pejabat Daerah Maran melaksanakan projek pembinaan jalan masuk dan jeti bernilai RM50,000 bagi memudahkan perhubungan ke tapak projek.
‘‘Pada masa sama, usaha menambah baik projek ini akan terus dilakukan dari semasa ke semasa mengikut keperluan supaya golongan sasar dapat menambah pendapatan sekali gus bebas daripada dikategorikan miskin tegar,’’ katanya.
Tan Mohd. Aminuddin yakin projek itu dapat membantu kerajaan mencapai sasaran membasmi kemiskinan sebagaimana ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berakhir hujung tahun ini.
Beliau turut meminta peserta projek berusaha keras mengeluarkan diri daripada terus dibelenggu kemiskinan tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata.
‘‘Kerajaan hanya mampu menolong pada tahap tertentu sahaja manakala usaha seterusnya adalah di tangan peserta,” katanya.

No comments:

Post a Comment