Wednesday, July 28, 2010

jangan ketepi hak bumiputera - NGO


SHAH ALAM 27 Julai - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu dan bumiputera di negeri ini mengingatkan DAP supaya tidak cuba membuat sebarang cadangan untuk mengenepikan kepentingan dan hak kaum Melayu di negara ini.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) negeri, Abdullah Mansor berkata, ingatan itu diberikan kerana cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya kerajaan negeri memansuhkan diskaun pemilikan hartanah kepada bumiputera dilihat telah melanggar semangat kerjasama dan perpaduan antara kaum.
Tegasnya, Tony seharusnya memahami dasar pemberian diskaun tersebut yang bertujuan mewujudkan keseimbangan pemilikan dan ekuiti antara kaum di negara ini.
Katanya, langkah itu juga bagi membolehkan kaum bumiputera mencapai sasaran pemilikan ekuiti 30 peratus yang belum dicapai sepenuhnya sehingga hari ini.
Malah katanya, kedudukan kaum bumiputera terutama dari segi keupayaan ekonomi mereka masih ketinggalan berbanding kaum lain sama ada di Selangor mahupun di negeri lain.
''Jadi kita nak ingatkan kepada DAP supaya tidak sesekali membuat cadangan yang meminggirkan hak serta kedudukan bumiputera.
''Sebagai ahli politik, beliau seharusnya faham kedudukan serta keupayaan sebenar antara kaum di negara ini. Jangan membuat cadangan dengan andaian yang tidak sepatutnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Abdullah, alasan Tony dengan pemansuhan diskaun itu akan menjadikan ekonomi Selangor lebih kompetitif dan meningkatkan keyakinan pelabur, merupakan pandangan yang sempit serta tidak benar sama sekali.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pertubuhan NGO Selangor (Mgpss), Datuk Mat Yasir Ikhsan menyifatkan alasan Tony yang mengaitkan prestasi ekonomi dengan pemberian diskaun bumiputera sebenarnya tidak menepati keadaan yang berlaku di negara ini.
Ujarnya, meskipun hak dan dasar melibatkan kepentingan bumiputera dilaksanakan dan termaktub dalam perlembagaan, ia sedikitpun tidak memberi kesan pada pertumbuhan ekonomi negara sehingga ke hari ini.
Malah selepas negara mencapai kemerdekaan sejak 1957 hingga ke hari ini katanya, Malaysia telah membuktikan keupayaannya dari segi pencapaian ekonomi termasuk memberi keyakinan kepada para pelabur untuk menjalankan aktiviti mereka di negara ini.
''Jadi atas dasar apa beliau membuat andaian pemansuhan diskaun ini, apakah agenda sebenar beliau membuat cadangan seperti ini," soalnya.
Dalam masa yang sama, Mat Yasir tidak menolak kemungkinan cadangan Tony itu bermotifkan politik untuk menarik sokongan bukan bumiputera.
Malah beliau berpendapat Tony juga mungkin sengaja mahu mewujudkan persepsi tidak baik di kalangan rakyat bahawa ekonomi negara tidak dapat berkembang ekoran dasar-dasar yang berkaitan dengan kepentingan bumiputera.

No comments:

Post a Comment