Wednesday, July 28, 2010

Petanda awal DAP mahu mansuh hak Melayu


KUALA LUMPUR 27 Julai - Cadangan terbaru seorang Ahli Parlimen DAP memansuhkan diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor disifatkan sebagai satu petanda awal bahawa parti itu sedia menghapuskan semua hak istimewa Melayu sekiranya diberi kuasa memerintah.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, melalui konsep 'Malaysian Malaysia', DAP sudah tentu akan berusaha untuk mencapai misi tersebut termasuk melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sekiranya igauan buruk itu benar-benar berlaku, nasib kehidupan orang Melayu bukan sahaja bertambah perit malah kepentingan Islam juga boleh terjejas.
''Adakah ini yang kita mahukan? Adakah kita mahu melihat nasib kaum kita seumpama mengemis di tanah air sendiri? Adakah kita mahu melihat Islam sebagai agama kita yang suci ini terjejas?
''Insaflah, sedarlah, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin Melayu dan pengikut-pengikut mereka yang terlalu seronok bersekongkol dengan DAP. Cuba lihat Singapura apa sudah jadi dengan orang Melayu di sana?,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Hilmi berkata, secara peribadi beliau meminta kumpulan pemimpin Melayu yang sanggup bekerjasama serta bersekongkol dengan DAP supaya segera bermuhasabah.
''Jangan nanti kita menyesal setelah melihat negara ini tergadai kepada kaum lain,'' katanya.
Ketika menjawab satu soalan, Mohd. Hilmi turut mengakui cadangan Tony Pua itu akan melebarkan lagi jurang dalam bentuk pegangan ekuiti antara bumiputera khususnya orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
''Umum mengetahui kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain dalam konteks pegangan ekuiti adalah terlalu jauh. Orang Melayu masih lagi ketinggalan. Ini adalah fakta dan bukannya kenyataan kosong.
''Berapa sangat orang Melayu boleh memberi hartanah komersial dan rumah mewah? Saya percaya ia boleh dikira dengan jari. Selama ini pun sejak berpuluh-puluh tahun sistem diskaun pembelian hartanah oleh bumiputera diamalkan tidak pula timbul masalah,'' katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh memberi amaran kepada Tony supaya tidak bermain api dengan sengaja membangkitkan isu tersebut.
Beliau berkata, walaupun cadangan itu hanya melibatkan hartanah komersial dan rumah mewah tetapi ia memberi mesej cukup jelas iaitu DAP mahu memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu.
''Lihat, inilah bibit-bibit permulaan DAP untuk menghapuskan segala keistimewaan orang Melayu. Mereka sememangnya bercadang untuk melakukan perkara ini jika diberi kuasa memerintah.
''Pulau Pinang adalah contoh yang terbaik. Cuba jenguk nasib orang Melayu di negeri itu. Pelbagai cara dibuat untuk meminggirkan orang kita di sana. Terbaru mengenai isu projek rumah mewah di Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment