Wednesday, July 28, 2010

Pas Selangor bantah


SHAH ALAM 27 Julai - Pas Selangor membantah gesaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mahukan pentadbiran pakatan pembangkang memansuhkan pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri ini.
Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd. Shahir menyifatkan cadangan itu adalah satu langkah tergesa-gesa kerana sebarang perubahan terhadap dasar pemilikan ekuiti bumiputera memerlukan kajian terperinci terutamanya dari segi kemampuan golongan tersebut untuk bersaing dengan kaum-kaum lain.
Malah, beliau turut mencabar supaya satu kajian diadakan bagi membuktikan sama ada benar pemansuhan pemberian diskaun berkenaan akan meningkatkan lagi persaingan ekonomi serta keyakinan pelabur di Selangor ini.
"Pas Selangor tidak selesa dengan kenyataan Tony Pua berhubung cadangan memansuhkan diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri ini.
"Kita merasakan, sebarang perubahan terhadap dasar yang melibatkan golongan bumiputera khasnya di negeri Selangor mestilah dilakukan dengan memperkenalkan sesuatu yang lebih baik dan menguntungkan golongan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Roslan turut menyarankan agar kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas supaya tidak terlibat dengan memperkenalkan dasar yang boleh menjejaskan kepentingan golongan bumiputera termasuklah mana-mana kaum di negeri ini.
"Kita menyarankan agar mana-mana cadangan seumpama ini sewajarnya dibincang dan dibahaskan di peringkat pakatan (PKR, DAP dan Pas) di Selangor ini sebelum ia dilontarkan kepada umum," ujarnya.

No comments:

Post a Comment