Wednesday, July 28, 2010

Hanya SPR boleh tentukan pilihan raya


SEOUL 27 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada pilihan raya umum diadakan serentak di seluruh negara atau berasingan bagi negeri-negeri yang di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, terserah kepada SPR untuk membuat keputusan berkenaan berdasarkan keadaan kewangannya.
Jelas beliau, berdasarkan pengalaman mengadakan pilihan raya umum yang lepas, penentuan hari pengundian dilakukan oleh SPR.
''Sama ada SPR beranggapan untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan lebih baik atau tidak sesuai dengan keadaan kewangannya, terpulang kepada mereka.
''Pokoknya bukan kita (kerajaan) yang tentukan perkara ini secara mutlak. Soal berkaitan pilihan raya terserah kepada SPR," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sejurus selepas bersarapan dengan wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi beliau di sini bermula semalam hingga Khamis ini.
Menurutnya, walaupun kerajaan boleh membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum, namun SPR sebagai sebuah badan yang bebas mempunyai kuasa untuk menetapkan hari pengundian.
Beliau berkata, sekiranya, negeri-negeri pakatan pembangkang berpendapat pilihan raya berasingan perlu dilakukan jika ia diadakan dalam tempoh terdekat ini, itu adalah pandangan mereka.
''Jika negeri-negeri berkenaan enggan mengadakan pilihan raya secara serentak di seluruh negara berikutan masalah dalaman yang melanda parti-parti pembangkang, itu adalah masalah mereka,'' katanya.
Bagi Barisan Nasional (BN) jelas beliau, parti itu mempunyai pengalaman yang lama dalam menghadapi pilihan raya dan faham mengenai perjalanannya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment