Wednesday, July 28, 2010

Politik wang kian menular

KUALA LUMPUR: Politik wang kini dipercayai menular ke dalam pergerakan koperasi menjelang pemilihan kepemimpinan tertinggi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Disember ini. 

Amalan dikesan sejak beberapa bulan lalu itu dikatakan membabitkan pelbagai cara seperti pengedaran kad nama untuk memudahkan ahli menghubungi bakal calon, mengadakan jamuan dan membiayai pakej pelancongan.Ketika mendedahkan perkembangan itu, Timbalan Presiden Transperancy International (TI-Malaysia), Prof Datuk Mohamad Ali Hassan (kanan) berkata pemimpin koperasi dan wakil mereka didapati menawarkan pelbagai habuan kepada ahli ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan seminar anjuran ANGKASA peringkat negeri atau Pusat.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir bagi memantau kegiatan rasuah di kalangan pihak tertentu untuk mendapat jawatan dalam ANGKASA peringkat negeri mulai bulan depan dan Pusat, akhir tahun ini. 

Menyedihkan apabila amalan sebelum ini lebih sinonim dengan parti politik kini menular dalam pertubuhan koperasi dan dikhuatiri menjejaskan integriti pemimpin dan koperasi itu sendiri, katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini. 

Sebanyak 4,500 koperasi seluruh negara terbabit dalam proses pemilihan tahunan dengan koperasi kurang 500 ahli diwakili seorang ahli atau satu undi, 500 hingga 1,000 ahli (dua undi), lebih 1,000 ahli (tiga undi) dan dua undi bagi koperasi menengah. 

Mohamad Ali yang juga Ahli Jawatankuasa ANGKASA Johor, berkata cubaan merasuah ahli koperasi lebih rancak di peringkat Pusat membabitkan jawatan tertinggi, iaitu Yang Dipertua, Timbalan dan tiga Naib Yang Dipertua berbanding koperasi negeri. 

No comments:

Post a Comment