Wednesday, July 28, 2010

Zulkifli Noordin dah teruk seperti kata kat diri sendiri tidur dgn MCA dan MIC

Ada pihak benci perkara maaruf

KUALA LUMPUR 27 Julai - Cercaan yang diterima Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali kerana mengadakan pertemuan demi menyelesaikan perpecahan ummah membuktikan telah wujud segelintir orang Islam di negara ini amat bencikan perkara maaruf.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, golongan terbabit lebih rela tidur sebantal dengan pihak kafir yang secara terang-terangan menolak dan menentang Islam walaupun jelas ia merupakan satu kemungkaran.
Beliau yang sedih dengan keadaan itu percaya pertemuan Harussani dan Hassan menepati seruan Allah seperti mana yang difirmankan di dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud, 'Berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai'.
''Sebagai Mufti, Tan Sri Harussani bersangka baik dan memberi cadangan untuk jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dikemukakan. Mereka bertemu, berbincang dan bermuzakarah sesuai dengan seruan Allah di dalam Surah Ali-Imran ayat 103.
''Namun apa mereka dapat. Maki hamun, caci maki, dilabel dengan pelbagai penghinaan dan macam-macam lagi keaiban. Apa yang mereka cuba buat itu suatu perkara maaruf tetapi itu yang menjadi kebencian kepada segelintir umat Islam,'' katanya.
Zulkifli berkata demikian pada entri terbaru di dalam blog beliau, http://zul4kulim. blogspot.com.
Zulkifli di dalam blognya turut memaparkan satu petikan hadis Rasulullah SAW yang amat panjang yang antara lain menyentuh mengenai gambaran mengenai umatnya yang diperintahkan melakukan kejahatan dan ditegah melakukan kebaikan.
''Saya teringatkan hadis tersebut yang pernah dibaca oleh seorang ustaz. Apabila mengenangkan kita umat Islam yang tak habis-habis dirundung perpecahan dan yang paling teruk, kita sanggup bersekongkol dengan kafir untuk menjatuhkan satu sama lain.
''Kita lupa kepada sejarah. Itulah punca kejatuhan kerajaan Khilafah Uthmaniah, apabila sekumpulan badwi padang pasir yang kononnya mahu menumbangkan kerajaan Khilafah Uthmaniah yang didakwa zalim, rasuah dan banyak melakukan mungkar sanggup bersekongkol dengan kafir harbi Eropah, terutamanya dari Britain,'' ujarnya.
Akhirnya beliau berkata, kerajaan Islam yang berpusat di Istanbul, Turki itu runtuh dan peristiwa tersebut di abadikan dalam filem Lawrence of Arabia.
''Sepatutnya ia menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita tetapi rupa-rupanya umat Islam akhir zaman ini memang mereka yang mudah lupa pada sejarah,'' katanya.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, umat Islam pada zaman ini wajib bersatu sama ada mereka yang datang dari parti pemerintah mahu pun pembangkang.
''Kita boleh berselisih dalam apa juga isu tetapi dalam isu membabitkan Islam dan umat Islam kita wajib bersatu sama ada dalam isu murtad, isu perlaksanaan syariat, isu hukum-hakam, isu perundangan dan kehakiman, isu muamalat, munakahat dan isu halal haram.
''Jika timbul sesuatu isu, sepatutnya kita duduk bersama dengan para mufti dan ulama berbincang untuk mencari kata sepakat. Jika ada perbezaan hendaklah cuba diselesaikan di dalam muzakarah,'' katanya.
Apabila hendak diambil satu pendirian beliau berkata, ia hendaklah berlandaskan pada satu suara dan satu pendapat.
''Ini kerana Tuhan kita hanya satu, Nabi Muhammad hanya satu, kitab kita hanya satu. Pasti kita boleh mengambil satu pendirian. Asalkan ia berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment