Wednesday, July 28, 2010

Biarlah umat Islam menilai Mahfuz - Harussani


PUTRAJAYA 27 Julai - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyerahkan kepada kebijaksanaan umat Islam di negara ini untuk membuat penilaian dalam isu tindakan Pas mempersoalkan penglibatannya dalam usaha mengukuhkan ikatan Islam UMNO-Pas.
Katanya, beliau tidak mempunyai komen tertentu terhadap kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkannya sebagai pecacai UMNO dalam isu yang menimbulkan kontroversi di kalangan para pemimpin kanan Pas itu.
''Terpulang kepada dia (Mahfuz), biarlah orang ramai menilai. Bagi saya, saya tetap mempertahankan kenyataan saya sebelum ini (menyatakan ada kalangan pemimpin Pas menemuinya bagi mendapatkan pandangan bagaimana untuk mengukuhkan ikatan Islam antara UMNO dan Pas)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mahfuz semalam menyifatkan Harussani sebagai pecacai UMNO kerana didakwanya berbohong mengenai perjumpaannya bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali yang dikatakan menyentuh soal kerjasama UMNO dan parti itu.
Naib Presiden Pas itu menjelaskan, Hassan telah mengaku yang beliau pernah berjumpa dengan Harussani tetapi perjumpaan itu hanya melibatkan perbincangan mengenai Islam dan tidak menyentuh soal kerjasama Pas-UMNO.

No comments:

Post a Comment