Wednesday, July 28, 2010

Tidak perlu orang tengah: Nik Aziz



KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kesediaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu menjadi orang tengah berhubung isu rundingan UMNO-Pas sebagai tindakan tidak betul. 

Nik Abdul Aziz berkata, Pas tidak perlukan orang tengah sekiranya ingin berunding dengan UMNO sebaliknya pertemuan itu akan diatur sendiri. 

“Kalau saya nak berunding dengan UMNO, saya akan bertemu sendiri dengan Presiden UMNO dan tak perlukan orang tengah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di sini, semalam. 

Walau bagaimanapun, Nik Abdul Aziz berkata, Harussani tetap mempunyai hak untuk campur tangan dalam isu politik negara kerana ia selari dengan peranannya sebagai mufti. 

“Campur tangan kerja orang alim, tetapi dengan sebab dia (Harussani) tidak biasa dengan politik, dia (terus) kira nak jadi orang tengah di antara parti (Pas-UMNO), mana boleh nak jadi orang tengah,” katanya. 

Mengenai tindakan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang didakwa pernah mengetuai delegasi Pas mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO ketika menerajui Dewan Pemuda Pas sebelum ini, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut. 

Katanya, tindakan Salahuddin itu disifatkan sebagai tindakan peribadi dan menjelaskan beliau tidak tahu menahu pertemuan itu mendapat persetujuan pucuk pimpinan tertinggi parti.

No comments:

Post a Comment