Tuesday, August 31, 2010

Nak heret namewee pulak dah!


Wee Meng Chee atau " Namewee"

Heret segera Namewee ke mahkamah: Ahmad Maslan


2010/08/31

KULAIJAYA: Wee Meng Chee atau "Namewee" perlu diheret ke mahkamah secepat mungkin kerana tindakannya menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman, kata Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno berkata, tindakan pemuda dari Muar itu menunjukkan beliau buta sejarah negara ini.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ceria Bubur Lambuk 1Malaysia di sini hari ini, Ahmad berkata tindakan terhadap Namewee perlu disegerakan sebagaimana tindakan pantas kerajaan mengheret mereka yang bertanggungjawab di dalam beberapa isu perkauman baru-baru ini.
Ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak supaya kerakyatan Namewee itu dilucutkan, Ahmad berkata, soal hukuman terserah kepada mahkamah.

Katanya, klip video perkauman oleh Namewee itu yang tersiar di You Tube, membuktikan betapa pentingnya pengajaran sejarah negara di sekolah-sekolah dipertingkatkan.

Beliau berkata, kaedah pengajarannya juga perlu dilakukan dengan lebih kreatif dan selari dengan perkembangan dunia kini, supaya ia lebih menarik generasi muda.

Ahmad turut menyarankan supaya lebih banyak buku yang menyentuh tentang sejarah negara diterbitkan. - BERNAMA

Rumah rakyat Malaysia di Kalimantan Barat dilempar batu





2010/08/31

JAKARTA: Rumah seorang jurutera Malaysia telah dilempari batu besar dalam tindakan usir atau "sweeping rakyat Malaysia" oleh sekumpulan lima lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, Ahad lalu. 

Difahamkan dalam insiden 2 petang itu, kumpulan lelaki berkenaan yang memakai pelekat di baju dengan tulisan "Ganyang Malaysia" telah membaling seketul batu besar ke arah jurutera berkenaan yang ketika itu membuka pintu untuk meninjau keadaan setelah mendengar bunyi bising di luar rumah.
Mereka menjeritkan kata-kata "You Malaysia balik!"
Jurutera berusia 60 tahun itu bagaimanapun sempat menutup pintu banglonya sebelum batu berkenaan menghentam pintu tersebut. 

Beberapa anggota polis yang menyedari kejadian itu berjaya menghalang kumpulan lelaki berkenaan daripada memanjat pagar rumah tersebut untuk masuk dan 
melakukan tindakan lebih ganas. 

Akibat kejadian itu, jurutera berkenaan kini dalam keadaan trauma dan telah meminta pihak syarikatnya membenarkan beliau pulang ke Malaysia lebih awal daripada jadual tugasnya di sana. 
Semasa kejadian, beliau tinggal bersendirian di rumah itu kerana isterinya sudah dihantar pulang Malaysia. 

Pihak syarikat ladang berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 

Pihak polis dikatakan telah mengenal pasti mereka yang terbabit dalam insiden itu, namun belum ada sebarang maklumat bahawa mereka telah ditahan. 

Difahamkan kumpulan lelaki itu telah mencari rakyat Malaysia di ladang berkenaan sejak Sabtu lalu dalam aksi sweeping mereka, tetapi hanya menemui jurutera itu pada hari Ahad. - BERNAMA

Ahli politik cuba eksploitasi masjid


IMAM Feisal berdialog dengan jemaah selepas mengimamkan solat Zuhur di sebuah masjid di Bahrain.
IMAM Feisal berdialog dengan jemaah selepas mengimamkan solat Zuhur di sebuah masjid di Bahrain.

Pilihan raya pertengahan penggal beri kesan besar 


DUBAI: Protes terhadap pembinaan pusat Islam dekat lokasi 9/11 di New York ada hubungan rapat dengan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, November depan, kata Imam Feisal Abdul Rauf yang mengetuai usaha berkenaan, semalam.
“Tidak syak lagi, musim pilihan raya memberi kesan besar kepada bentuk perdebatan isu ini,” kata Feisal yang dipetik akhbar di sini, The National, yang mewawancara beliau mengenai lawatannya ke Teluk dengan ditaja Jabatan Negara Amerika.
Feisal tidak merujuk kepada mana-mana jentera politik kerana sekadar menyatakan sebab mengapa protes itu meletus ketika ramai ahli politik membantah pembinaan pusat bernilai AS$100 juta (RM320 juta) itu termasuk sebuah masjid dan pusat budaya Islam.

Ada ahli perundangan Republikan yang bertanding dalam pilihan raya kali ini menjadikan pembinaan Park51 yang sebelum ini dipanggil ‘Rumah Cordoba’ sebagai isu selepas pemimpin seperti Newt Gingrich dan Sarah Palin menyatakan tentangan.

Kevin Calvey, ahli Republikan yang bertanding kerusi Kongres di Oklahoma, berkata pemimpin Muslim yang menyokong pembinaannya ‘jelas penyokong pengganas.’
Malah, ahli Demokrat juga berasa tertekan supaya memberi pandangan balas dalam perbahasan berkenaan.
Anggota Demokrat paling kanan di Senat, Harry Reid, yang menghadapi tentangan hebat di Nevada, berkata masjid itu perlu dibina lebih jauh dari lokasi ‘Gound Zero.’

Malah, Presiden Barack Obama yang berkata penduduk Muslim berhak mengamalkan agama mereka dan membina masjid itu di Manhattan, kemudian mengubah pendirian dengan menyatakan beliau tidak menyokong pelan itu sepenuhnya.

Feisal membandingkan keadaan Muslim Amerika sekarang dengan prejudis berasaskan agama serta serangan terhadap kumpulan lain termasuk imigran Yahudi dan Roman Katolik.

Apapun, katanya, penduduk Islam Amerika adalah sebahagian daripada identiti Muslim Amerika.

“Selepas beberapa waktu berlalu dan generasi kedua (Muslim) terbentuk kukuh di Amerika, mereka membincangkan identiti Islam di Amerika yang semakin dilihat sebagai terasing daripada penduduk tempatan.

“Golongan radikal wujud dalam dunia Islam. Ia juga ada di kalangan pengikut agama lain. Mereka kuat kerana saling memerlukan. Kita perlu tentang mereka.

“Itu saja cara untuk menang dan mewujudkan suasana yang selamat di seluruh dunia, itulah yang semua orang mahu sebenarnya.” kata Feisal. – AP

Dah 50 tahun UMNO perintah ada lagi rakyat tak dapat air paip


Peneroka Purun, Kumai dapat air menjelang Aidilfitri


2010/08/31

BERA: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) membekalkan 5,000 botol air mineral, empat lori tangki dan 20 tangki statik mudah alih kepada 120 peneroka di FELDA Purun dan Kumai, dekat sini sebagai langkah mengurangkan masalah mendapatkan bekalan air bersih menjelang Aidilfitri. 

Pengurus Besar Operasi dan Penyelenggaraan SYABAS, Yusof Saroji, berkata pihaknya juga menyediakan 60 sukarelawan untuk menjayakan program penghantaran air ke rumah peneroka terutama di kawasan tinggi.
Katanya, pihaknya simpati dengan masalah dihadapi peneroka kedua-dua tanah rancangan berkenaan untuk mendapatkan bekalan air bersih terutama menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.
“Usaha membekalkan air bersih kepada peneroka ini dilaksanakan dengan kerjasama Gerakan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang prihatin dengan masalah dialami peneroka. 

“SYABAS akan bekerjasama dengan Jabatan Bekalan Air (JBA) Bera untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk dihantar ke rumah peneroka,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan bekalan air di FELDA Purun, dekat sini, semalam. 

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bera, Norol Azali Sulaiman dan Pengarah Besar FELDA Wilayah Mempaga, Jahya Zainal. 

Beliau berkata, jangka masa program bantuan agihan air bersih kepada peneroka di kawasan FELDA itu belum diputuskan dan pihaknya akan memantau keperluan peneroka. 
Sementara itu, Timbalan Pengerusi GWGF, Datuk Abdulah Bakar berkata, program berkenaan dapat membantu meringankan beban peneroka bagi menangani masalah mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian. 

“GWGF mengharapkan JBA mengadakan perbincangan dengan agensi pembangunan daerah supaya membuat permohonan untuk membaiki dan menaik taraf paip di tanah rancangan berkenaan” katanya. 

Sementera itu, Ketua Peneroka FELDA Mayam, Ahmad Johari, 63, berkata penduduk berterima kasih kepada GWGF dan SYABAS yang prihatin dengan memahami masalah mereka. 

“Selama ini, peneroka terpaksa mendapatkan bekalan air bersih di sungai yang jauhnya lebih 10 kilometer untuk keperluan harian,” katanya. 

“Saya yakin dengan bantuan ini dapat membantu mengeratkan hubungan masyarakat dengan agensi pembangunan di negara ini” katanya.

SM Nasarudin, pengacara E! News Asia nikah Disember


Marion Caunter dan SM Nasaruddin.
Marion Caunter dan SM Nasaruddin.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin mengesahkan beliau akan mengahwini personaliti televisyen iaitu pengacara E! News Asia, Marion Caunter, Disember ini.

Beliau berkata, majlis perkahwinan mereka akan berlangsung di ibu kota.
“Tarikhnya masih belum ditentukan, tetapi keluarga kedua-dua pihak sudah memberi restu terhadap perkahwinan ini,” katanya, semalam. Nasarudin, 27, adalah anak kepada pengasas Kumpulan Naza, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dan beliau sudah mengenali Marion selama lima tahun.

UMNO juara fitnah

YB Hannah Yeoh (ADUN) kawasan Subang Jaya lawat masjid




KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Panas! Itulah yang boleh diperkatakan terhadap gambar wakil rakyat pembangkang ini. Biar pun isu panas susulan kes Ahli Parlimen Serdang, YB Teo Nie Ching berada dalam dewan solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral belum berakhir. Kini satu lagi kejutan berlaku, gara-gara tindakan wakil rakyat DAP. Namun, sekali ini ia agak berbeza dan pastinya memberi tamparan hebat kepada puak-puak UMNO BN sebenarnya.

Kini heboh dilaman facebook gambar YB Hannah Yeoh (foto), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Subang Jaya pula masuk ke dalam sebuah masjid di ibu negara. Menurut sumber beliau dipercayai hadir untuk program Iftar Ramadhan disamping menyampaikan sumbaangan derma untuk satu majlis berbuka puasa di Masjid Al-Falah dekat sini.

Apa yang menarik, gaya dan penampilan beliau mengalahkan pemimpin wanita UMNO yang kononnya Islam itu sendiri. Dengan mengenakan baju kurung Melayu dan bertudung, YB Hannah dilihat sungguh anggun bergaya untuk bersama rakyat disitu.

Jika sebelun ini, YB Teo Nie Ching dipertikaikan kerana masuk ke dalam masjid kemudian berucap di ruang solat utama tanpa menutup aurat. Kini segalanya jauh berbeza sama sekali. Dengan penampilan yang penuh adab dan tatasusila itu, apakah akan ada lagi suara-suara sumbang yang mempertikaikan orang bukan Islam masuk ke dalam surau-surau dan masjid seperti yang digembar-gemburkan sekarang ini.

Malah, penampilan YB Hannah Yeoh dilihat lebih Islamik daripada sebilangan besar pemimpin Wanita UMNO yang kononnya mahu bercakap soal Islam itu sendiri. Kini, terbukti bahawa puak-puak UMNO BN mula "terdiam membisu" tanpa sebarang hujjah lagi untuk mempertikaikan "larangan orang bukan Islam" masuk ke dalam rumah Allah itu.

Ternyata lidah mereka kelu tanpa sebarang kata-kata melihat apa yang berlaku ini. Soalnya sekarang, apakah mereka mahu terus meracau dan mahu mempolitikkan isu ini agaknya?


YB Hannah Yeoh sempat bergambar kenangan dengan muslimat yang hadir

Sesungguhnya apa yang berlaku ini pasti akan membuatkan puak-puak UMNO tidur tak lena. Mereka kononnya ingin memainkan isu ini bagi membuktikan bahawa pemimpin DAP menghina agama Islam. Tetapi hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Malah, pemimin Cina dalam DAP lebih memahami dan menghormati kesucian agama Islam itu sendiri.

Melihat aksi YB Hannah ini, terkadang kita merasa sudah tiba masanya perpaduan sesama rakyat Malaysia itu menjadi agenda dan pokok utama Pakatan Rakyat. Perpaduan yang dicanang-canangkan dalam UMNO tidak mungkin akan berlaku kerana mereka lebih berselera untuk menggunakan "bangsa" sebagai alat perpaduan. Walhal, Islam itulah sepatutnya yang paling utama. Inilah yang berlaku, apabila Islam difahami maka orang bukan Islam tiada masalah dengan Islam.

Cuma, puak-puak UMNO yang gunakan media mereka untuk menakutkan rakyat sebenarnya.

Orang Kristian sembahyang dalam masjid

Sebagai satu contoh toleransi yang RasuluLlah s.'a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam sirah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan "Da'auhum! (biarkan mereka)".

RasuluLlah s.'a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi!! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur (lihat buku tulisan Yusuf Al-Qardhawi "Religious Minority from Shariah’s Perspective") 

Pilih Disember

KUALA LUMPUR: Selepas kekasih hatinya yang juga personaliti televisyen terkenal, Marion Counter membuka mulut mendedahkan berita perkahwinan mereka, kini SM Nasaruddin SM Nasamuddin yang juga Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza sendiri tampil mengiakan kenyataan itu.
Menurut usahawan muda berusia 27 tahun itu, beliau dan Marion, 30, sudah sepakat memilih Disember depan untuk bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah, namun tarikhnya masih belum diputuskan lagi memandangkan kedua-duanya perlu menyelesaikan beberapa urusan terlebih dulu.

“Kami belum lagi memilih tarikh yang sesuai untuk bergelar suami isteri, tetapi yang pastinya majlis bahagia itu nanti akan berlangsung pada Disember ini di ibu negara.

“Walaupun tiada penetapan tarikh dibuat tapi saya dan Marion sudah bersedia, malah kami bersyukur kerana keluarga kedua-dua belah pihak merestui perhubungan ini dan mereka juga bersetuju dengan perancangan awal (majlis) yang sudah dibuat setakat ini,” katanya, semalam.

Difahamkan sebelum bergelar isteri kepada Nasaruddin, Marion atau nama sebenarnya Marion Rose Counter akan terlebih dahulu memeluk Islam sekitar bulan depan atau Oktober sebaik selesai menjalani rakaman program E! News Asia dan The Biggest Loser Asia musim kedua.

Akhbar sebelum ini melaporkan kisah pasangan itu yang menyulam kasih selama lima tahun tetapi berjaya merahsiakan perhubungan mereka daripada pengetahuan umum, selain tidak pernah membuat kenyataan rasmi mengenainya.HMETRO

Ikatan cinta Memey

KUALA LUMPUR: Walaupun perbicaraan kes khalwat mereka di mahkamah belum selesai, pasangan pelakon popular, Mohd Nor Hakim Zaidon (Norman Hakim), 34, dan pelakon Suhaiza Suhaimi (Memey), 22, mengambil keputusan mengakhiri spekulasi hubungan mereka sebelum ini banyak berteka-teki dengan ikatan pertunangan.
Ketika dihubungi Memey dalam nada ceria berkata, keluarga kedua-dua pihak setuju mengadakan majlis pertunangan itu pada hari raya keempat di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Merpati dua sejoli ini saling mengenali lebih dua tahun lalu dan khabarnya cinta mula berputik ketika berlakon bersama dalam drama Pasrah.

“Minggu lalu saya dan Norman balik ke kampung saya dan keluarga mula berbincang mengadakan majlis pertunangan itu. Ikutkan hati saya tak mahu bertunang kerana kami saling memahami dan mengenali hati budi tapi abang (Norman) mahu saya merasai proses dari mula iaitu merisik, bertunang dan baru diijabkabulkan.

“Dia mahu saya melalui semua pengalaman itu. Pada majlis pertunangan itu nanti, baru keluarga kami akan berbincang jumlah hantaran dan tarikh kami akan disatukan. Insya-Allah majlis kenduri dan persandingan akan dilangsungkan awal tahun depan kerana tidak mahu bertunang lama-lama. Sekiranya semua okey, lebih baik disegerakan.

“Untuk majlis pertunangan ini, akan ada dulang hantaran. Berapa jumlahnya... juga dalam perbincangan. Saya akan bertanya kepada emak apa yang patut dibeli sebagai hantaran balas kepada abang.HMETRO

Bertuah punya anak

Setin biskut buat ibu ayah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/08/31

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tidak mengenang budi apabila sanggup mengumpan ibu bapanya yang tinggal di sebuah rumah jagaan di sini, dengan setin biskut untuk memujuk mereka supaya jangan pulang ke rumah sempena Aidilfitri nanti, sebaliknya mahu mereka menyambut 1 Syawal di pusat jagaan itu.
SEDIH...pasangan warga emas terbabit  di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.
SEDIH...pasangan warga emas terbabit di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.
Pada mulanya, kehadiran anak lelaki berusia 40-an itu disambut gembira pasangan warga emas berkenaan kerana menyangka mahu membawa mereka pulang menyambut hari raya bersama di rumahnya, tetapi lain pula berlaku.

Lelaki tidak mengenal budi itu sebaliknya memujuk ibu bapanya supaya beraya di pusat jagaan itu, malah enggan mendengar rintihan orang tuanya supaya tidak diperlakukan sedemikian.

Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin, berkata kisah sedih pasangan penghuni pusat jagaan warga emas itu mengakibatkan kakitangan di situ terkilan dengan perangai lelaki terbabit.

Menurutnya, anak pasangan berkenaan yang tinggal di luar bandar raya ini mendakwa dia sibuk pada Aidilfitri nanti sebagai alasan tidak dapat membawa pulang orang tuanya beraya di rumah.

“Hanya Tuhan mengetahui kegembiraan pasangan itu apabila melihat kelibat anak yang disangka mahu menjemput mereka pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya.

Cari kaedah 500,000 tunai haji




MENGIKUT prosedur biasa, setiap umat Islam hari ini perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk menunaikan haji. - Gambar hiasan


KOTA BHARU - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menggunakan kaedah berkesan bagi memastikan semua 500,000 senarai menunggu yang mendaftar untuk menunaikan haji dapat mengerjakan ibadah itu mengikut jangka masa ditetapkan.
Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa As'ari Mohamed Nor berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 5.4 juta pendeposit Tabung Haji yang mendaftar untuk menunaikan haji melalui lembaga itu sehingga akhir tahun lepas.
"Kita akan menggunakan kaedah dan pendekatan yang berkesan bagi memastikan semua senarai menunggu untuk menunaikan haji dapat mengerjakan ibadah itu secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian zakat kepada 330 golongan miskin di sini semalam.

Menyusuri legasi Tun Abdul Razak




TUN ABDUL RAZAK di samping Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


MENERUSI sejarah yang dipelajari, kita mengenali Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein Al-Haj sebagai Bapa Pembangunan. Namun, sejauh manakah kita mengenali figura itu yang turut bertanggungjawab meleraikan kemelut krisis perkauman pada 13 Mei 1969?
Beliau membesar di kawasan perkampungan dan perlu berjalan sejauh enam kilometer ke sekolah tanpa kasut. Bukan kerana tidak mampu, beliau bagaimanapun mahu berkaki ayam seperti kawan-kawannya yang lain. Itu antara paparan yang boleh disaksikan dalam dokumentari A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak.
Diterbitkan dengan kerjasama antara National Geographic Channel, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dan Astro, dokumentari selama 60 minit itu merupakan antara paparan khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53.
Ditayangkan secara eksklusif di saluran National Geographic (Astro 553) pada 31 Ogos, 9 malam, 5 September, 9 malam dan juga 16 September, 9 malam, dokumentari itu juga akan memaparkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman.
“Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia akan mengikuti cerita bagaimana seorang pemimpin berwawasan membentuk pembangunan masa depan negara kita. Kami meneroka tema, isu dan kisah-kisah beliau yang mampu menghubungkan semua penonton Malaysia,” kata Pengarah dan Ketua Wilayah, Fox International Channels dan National Geographic Channel Asia.
Menariknya, audiens juga akan menyaksikan pengorbanan beliau ketika berdepan dengan cabaran terbesar melawan penyakit yang dirahsiakan termasuk daripada pengetahuan keluarganya sendiri. Berakhir dengan babak saat-saat akhir kehidupannya, dokumentari itu diarahkan oleh Justin Ong.
“Beliau tahu dirinya akan meninggal tidak lama tetapi beliau memilih untuk menghabiskan masanya dengan membentuk negara. Kita amat bertuah untuk hidup di generasi ini terutama selepas saya melihat sendiri filem arkib. Jadi dokumentari ini adalah antara cara kita boleh menghargai pergorbanan pemimpin negara.
“Diakui banyak lagi benda yang boleh dimasukkan dalam dokumentari ini tetapi durasinya amat terhad. Ramai orang yang mengenali beliau menerusi buku sejarah. Justeru, kami meneroka kehidupannya sejak kecil. Itu antara cabaran kerana kami perlu memadatkan jalan cerita,” ujar Justin.
NOSTALGIA emas. Potret keluarga Tun Abdul Razak.


Menggunakan masa tiga bulan untuk direalisasikan, ia satu rekod yang tidak pernah digunakan untuk menyiapkan mana-mana produk untuk saluran National Geographic Channel.
Malah sejak Finas bekerjasama dengan saluran antarabangsa itu, mereka telah meminta sebarang program yang ingin disiarkan perlu menggunakan masa sekurang-kurangnya setahun untuk penyelidikan, rakaman serta pasca produksi.
“Jangka masa itu menjadi salah satu kriteria kerana kami amat mementingkan kualiti. Idea untuk menghasilkan dokumentari ini sebenarnya lahir tahun lalu tetapi hanya dilaksanakan sekitar bulan April lalu. Kami sebelum ini pernah menyiarkan dokumentari seperti Becoming A King dan bagi sambutan kemerdekaan ini, kami inginkan kelainan,” ujar Basil lagi.
Ditayangkan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris bagi mencapai lebih ramai penonton, isi kandungannya juga dibikin supaya ia boleh diterima oleh kanak-kanak mahupun penonton dewasa. Bagi mengukuhkan lagi perjalanan plot, beberapa orang penting di sekeliling Allahyarham turut ditemu bual.
Antaranya termasuk anak sulung Abdul Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, pembantu khas beliau, Tunku Tan Sri Datuk Shahriman, bekas setiausaha Parlimen beliau, Tan Sri Datuk Michael Chen, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar dan anak keduanya, Datuk Ahmad Johari.
“Kita sudah merdeka selama hampir 53 tahun dan mereka yang berada pada zaman itu sudah semakin tua. Jika kita tidak mula membikin atau menemu bual mereka, mungkin dalam masa 10 tahun lagi, kita sudah tidak dapat informasi daripada mereka yang hidup ketika itu.
“Pihak produksi amat bertuah untuk mendapatkan ramai pihak untuk ditemu bual. Contohnya seperti bekas Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Datuk Thong Yaw Hong yang tidak pernah ditemu bual oleh mana-mana media,” jelas Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim.

Monday, August 30, 2010

Jangan biar penghinaan, 'pencerobohan' ke atas umat Islam, titah Raja Nazrin





2010/08/30

IPOH: Penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam hari ini, bermula dari pemesongan di kalangan pemimpin sehingga pemimpin reda membuka laluan membolehkan yang bukan Islam melakukan pencerobohan terhadap bumi serta umat Islam. 

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil, mungkin bermula dari sebuah surau, madrasah, masjid atau mimbar.
Titah baginda, pencerobohan itu itu juga boleh bermula daripada satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau satu doa.
"Ia bermula daripada pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, umat Islam sebenarnya memberikan petanda yang salah. 

"Petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam," titah baginda di sini, petang ini. 

Baginda bertitah demikian di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Peringkat Perak dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidil Fitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini. 

Turut berangkat Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Kerajaan Kelantan saman Petronas





2010/08/30

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan hari ini memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Mahkamah Tinggi di sini berhubung dakwaan melanggar kontrak.

Saman pemula itu difailkan di Bahagian Pendaftar Mahkamah Dagang pada 9.30 pagi ini melalui pejabat peguam Tetuan Tommy Thomas.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Saman itu turut melibatkan beberapa isu Perlembagaan.

Antara relif yang lain dituntut adalah satu penjelasan diambil atau satu siasatan diperintahkan yang menghendaki Petronas untuk membuat pendedahan penuh dan benar berhubung semua fakta berkaitan dengan bayaran-bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan, termasuk tempoh dari mana petroleum telah dikeluarkan, didapati atau diperoleh di luar pantai Kelantan, kawasan-kawasan/blok-blok dari mana petroleum telah didapati dan diperoleh, serta jumlah bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan. 


Kerajaan negeri turut menuntut agar semua tunggakan pembayaran tunai yang telah diperjelaskan, hendaklah dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah.
Ia juga memohon satu perintah supaya semua bayaran tunai pada masa hadapan hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan oleh Petronas bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti mana Perjanjian Petroleum Kelantan.

Turut dituntut lima relif yang lain, termasuk relif ganti rugi dan kos.

Saman pemula itu tidak menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan daripada Petronas.

Dalam kenyataan tuntutan, kerajaan negeri menjelaskan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, secara jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri berkenaan. 

Mengikut klausa kedua perjanjian, bayaran tunai itu hendaklah dibayar dua kali dalam setahun, pada atau sebelum 1 Mac, atau sebelum 1 September.

Menurut Klausa 3 pula, pembayaran tersebut hendaklah terus dibayar selama mana petroleum diperoleh dari negeri berkenaan dan tidak perlu membayar sekiranya petroleum tidak lagi diperoleh. 

Dalam kenyataan tuntutan itu, kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa hak milik sumber petroleum dan hak-hak keistimewaan untuk mencari gali bukan satu pemberian kepada Petronas tanpa sebarang balasan ataupun pampasan.

Selepas sahaja saman itu difailkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama hampir kesemua ahli exco kerajaan negeri serta seramai 200 penyokong mengadakan sembayang hajat di Masjid Wilayah Persekutuan berhampiran. 

Dalam kenyataan ringkas kepada media selepas itu, Nik Aziz berkata beliau sebagai ketua kerajaan negeri perlu menjaga kehormatan harta kerajaan negeri Kelantan. - BERNAMA

Hasan Ali cadang peraturan terperinci masuk surau digubal





2010/08/30

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, hari ini mencadangkan supaya satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor. 

Beliau berkata, peraturan yang lebih jelas seperti jenis pakaian yang sesuai serta jenis tudung yang dipakai juga perlu diperincikan bagi memudahkan ia difahami oleh pihak yang mengunjungi surau atau masjid.
"Mereka yang menjemput atau menganjur sepatutnya perlu memaklum perkara-perkara ini kepada orang yang dijemput (ke surau/masjid) lebih-lebih lagi bila membabitkan bukan Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu mengenai kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, di Surau Al-Huda di Kajang pada 22 Ogos. 

Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah. 

Hasan berkata, beliau akan menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya menjaga sensitiviti awam sekiranya ingin melawat kawasan membabitkan rumah ibadat. - BERNAMA

Penyokong Bashir guna laman siber





2010/08/30

Lancar kempen bebas ulama menerusi Facebook 

JAKARTA: Penyokong Abu Bakar Bashir melancarkan kempen besar-besaran dalam laman siber menuntut pembebasan ulama terkenal Indonesia itu dengan membuka akaun Facebook, menubuhkan laman web sendiri dan menggodam laman web syarikat swasta.
Bashir, dituduh menjadi pemimpin spiritual rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaeda, ditahan buat kali ketiga 9 Ogos lalu kerana didakwa menubuhkan sel baru berkomplot melakukan serangan ala Mumbai, menyasarkan warga asing di hotel mewah dan kedutaan negara barat di Jakarta.Jika didapati bersalah, dia mungkin berdepan hukuman mati.

“Ia semuanya satu penipuan!” tulis pengguna Facebook, Asy’Hari Siregar antara beratus orang yang pernah berarak di jalan raya di ibu kota itu, kini sunyi sepi kerana negara didominasi penduduk Islam itu sedang berpuasa pada Ramadan.
Yang lain turut menyokong bahawa Bashir adalah mangsa konspirasi Amerika Syarikat.

Indonesia, negara sekular dengan 237 juta penduduk, menyaksikan ledakan kempen akar umbi berteknologi tinggi berikutan mudahnya mendapatkan telefon bimbit murah yang boleh mencapai internet.

Jumlah pengguna Facebook meningkat daripada kurang sejuta dua tahun lalu kepada 22 juta pada hari ini, menjadikannya negara ketiga terbesar untuk laman rangkaian sosial terbabit. 
Ia juga memiliki kadar penembusan penggunaan Twitter yang tinggi.

Robertus Robert, seorang penganalisis Universiti Nasional Jakarta berkata pelancaran kempen siber berkenaan tidak bermakna penyokong Bashir sudah tidak lagi melancarkan bantahan jalanan.

“Mereka melihat web sebagai cara melebarkan kempen mereka,” katanya. “Ia agak paradoks sebenarnya. Kebanyakan fundamentalis menolak teknologi moden kerana ia dianggap alat untuk barat, namun ia membenarkan mereka mencari penyokong baru, kelas pertengahan dan yang lain menerusi web.”

Dalam tempoh beberapa jam penahanan Bashir, pengikutnya menubuhkan laman web freeABB.com yang menarik lebih 65,000 pelawat. Ia mengandungi video polis mengiringi ulama yang tersenyum itu ke balai polis, artikel mendakwa pembabitan Amerika dalam penahanannya dan satu mesej dihantar oleh ulama itu dari dalam selnya. 

Beberapa hari kemudian, penyokongnya membuka satu akaun Facebook. – AP

Dua anak derita talasemia: Jujinah



Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/08/30

Adaniah, Addzeq kerap dapat rawatan 

KOTA KINABALU: Saat mengetahui dua daripada tiga anaknya menghidap talasemia ketika masing-masing belum mencapai usia setahun adalah detik paling mengharukan bagi Jujinah Nining, 30.
Beliau yang bekerja di sebuah kolej kejururawatan di ibu negeri berkata, lebih menyedihkan kedua-dua anaknya iaitu Adaniah Hardin, 4 dan Addzeq, 3, kelihatan sihat dan riang walaupun menanggung penderitaan.
"Setiap bulan saya membawa mereka ke hospital untuk menerima rawatan penambahan darah. Ibu mana yang tidak sedih melihat anak sekecil itu meraung kesakitan," katanya ketika ditemui di Wad Pediatrik Hospital Likas di sini, baru-baru ini. 

Adaniah dan Addzeq adalah antara 200 kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Likas yang menerima sumbangan Aidilfitri daripada Bank Rakyat cawangan Sabah. 

Sumbangan disampaikan Ketua Wilayah Sabah Bank Rakyat, Latif Seeni. 

Jujinah yang gembira dengan sumbangan hamper dan wang tunai itu mengakui ia sekurang-kurangnya menggembirakan kedua-dua anaknya. 
"Mereka seronok tengok orang datang beri hadiah walaupun belum faham. Melihat mereka tersenyum sudah memadai bagi saya," katanya. 

Sementara itu, Latif berkata, sumbangan sempena Aidilfitri di Wad Pediatrik Hospital Likas dilakukan Bank Rakyat sejak tiga tahun lalu. 

"Hospital Likas dipilih kerana mempunyai ramai pesakit kanak-kanak dan wanita, sekali gus ia bersesuaian dengan matlamat kita bagi memberi sumbangan kepada golongan ini. 

"Kami terharu melihat keseronokan mereka mendapat sumbangan, lebih-lebih lagi mengenangkan ada yang terpaksa beraya di hospital," katanya. 

Latif juga tidak menolak untuk mempertimbangkan cadangan agar sumbangan Aidilfitri oleh Bank Rakyat dipanjangkan di hospital lain di negeri ini termasuk di pedalaman. 

"Bank Rakyat akan mempertimbangkan jika ada cadangan untuk menyerahkan sumbangan di hospital lain di negeri ini termasuk di pedalaman. Lazimnya, jika ada keperluan di hospital terbabit termasuk jumlah pesakit kanak-kanak yang ramai, kita akan berkunjung ke situ untuk menyerahkan bantuan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Latif berkata Bank Rakyat mengalu-alukan lebih banyak koperasi di Sabah menyertai francais Skim Ar-Rahnu yang diperkenalkan di cawangan bank itu di seluruh negeri.

Tebing dikhuatiri runtuh



Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2010/08/30

Penduduk Taman Sri Pelentong resah projek tambakan seperti terbengkalai 

PASIR GUDANG: Walaupun dijanjikan keselamatan mereka terjamin, kira-kira 50 penghuni di 10 rumah di Taman Sri Pelentong, di sini dibayangi keresahan apabila projek penambakan tebing yang sepatutnya dijalankan bagi mengurangkan hakisan di kawasan rumah mereka seperti tidak dijalankan.
Kebimbangan penduduk kian memuncak terutama apabila hujan lebat. Mereka khuatir hakisan tanah berlaku bila-bila masa saja apatah lagi kedudukan rumah dan jarak sungai yang menjadi tebing berkenaan adalah kurang daripada 50 meter.
Penduduk, Che Ali Che Ya, 39, berkata keadaan tebing berkenaan membahayakan nyawa penduduk sekitar terutama penghuni di 10 rumah yang terjejas, sekali gus mengundang perasaan tidak senang hati dengan janji pihak terbabit dalam melaksanakan kerja berkenaan. 

Katanya, hakisan tanah itu wajar dibendung dengan segera apatah lagi turut membahayakan nyawa kanak-kanak yang dilihat kadang-kadang menghabiskan masa mereka bermain bersama rakan di kawasan terbabit. 

"Projek itu untuk menghalang tanah runtuh, sekali gus menyebabkan kekotoran Sungai Pelentong dan mengurangkan hakisan tanah yang menjejaskan 10 rumah. 

"Namun, sikap acuh tak acuh pihak yang terbabit dalam menjalankan kerja penahan hakisan tebing mengecewakan penduduk sedangkan saya difahamkan ia sudah memasuki bulan keenam," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. 
Che Ali berkata, sekiranya masalah itu berlarutan tanpa tindakan susulan, beliau dan penduduk lain khuatir suatu hari nanti tebing berkenaan akan runtuh, selain berlaku banjir akibat hujan lebat. 

"Saya memohon pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera dan menyiapkan projek terbabit kerana kita tidak mahu ada kejadian tidak diingini berlaku pada masa depan," katanya yang tinggal di kawasan berkenaan lebih 20 tahun. 

Penduduk, Muhammad Sani Surip, 27, berkata walaupun setakat ini tiada kejadian buruk membabitkan hakisan tanah di kawasan berkenaan, dia berharap pihak yang terbabit segera melakukan kerja penahanan tebing yang secara tidak langsung turut mencemarkan Sungai Pelentong. 

"Apabila hakisan tanah berlaku, ia secara tidak langsung menyebabkan keadaan sungai menjadi kotor, malah kita turut risau sekiranya sungai berkenaan turut dipenuhi sampah sarap akibat tersumbat," katanya.