Monday, August 30, 2010

Penyokong Bashir guna laman siber





2010/08/30

Lancar kempen bebas ulama menerusi Facebook 

JAKARTA: Penyokong Abu Bakar Bashir melancarkan kempen besar-besaran dalam laman siber menuntut pembebasan ulama terkenal Indonesia itu dengan membuka akaun Facebook, menubuhkan laman web sendiri dan menggodam laman web syarikat swasta.
Bashir, dituduh menjadi pemimpin spiritual rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaeda, ditahan buat kali ketiga 9 Ogos lalu kerana didakwa menubuhkan sel baru berkomplot melakukan serangan ala Mumbai, menyasarkan warga asing di hotel mewah dan kedutaan negara barat di Jakarta.Jika didapati bersalah, dia mungkin berdepan hukuman mati.

“Ia semuanya satu penipuan!” tulis pengguna Facebook, Asy’Hari Siregar antara beratus orang yang pernah berarak di jalan raya di ibu kota itu, kini sunyi sepi kerana negara didominasi penduduk Islam itu sedang berpuasa pada Ramadan.
Yang lain turut menyokong bahawa Bashir adalah mangsa konspirasi Amerika Syarikat.

Indonesia, negara sekular dengan 237 juta penduduk, menyaksikan ledakan kempen akar umbi berteknologi tinggi berikutan mudahnya mendapatkan telefon bimbit murah yang boleh mencapai internet.

Jumlah pengguna Facebook meningkat daripada kurang sejuta dua tahun lalu kepada 22 juta pada hari ini, menjadikannya negara ketiga terbesar untuk laman rangkaian sosial terbabit. 
Ia juga memiliki kadar penembusan penggunaan Twitter yang tinggi.

Robertus Robert, seorang penganalisis Universiti Nasional Jakarta berkata pelancaran kempen siber berkenaan tidak bermakna penyokong Bashir sudah tidak lagi melancarkan bantahan jalanan.

“Mereka melihat web sebagai cara melebarkan kempen mereka,” katanya. “Ia agak paradoks sebenarnya. Kebanyakan fundamentalis menolak teknologi moden kerana ia dianggap alat untuk barat, namun ia membenarkan mereka mencari penyokong baru, kelas pertengahan dan yang lain menerusi web.”

Dalam tempoh beberapa jam penahanan Bashir, pengikutnya menubuhkan laman web freeABB.com yang menarik lebih 65,000 pelawat. Ia mengandungi video polis mengiringi ulama yang tersenyum itu ke balai polis, artikel mendakwa pembabitan Amerika dalam penahanannya dan satu mesej dihantar oleh ulama itu dari dalam selnya. 

Beberapa hari kemudian, penyokongnya membuka satu akaun Facebook. – AP

No comments:

Post a Comment