Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2010/08/30
Penduduk Taman Sri Pelentong resah projek tambakan seperti terbengkalai PASIR GUDANG: Walaupun dijanjikan keselamatan mereka terjamin, kira-kira 50 penghuni di 10 rumah di Taman Sri Pelentong, di sini dibayangi keresahan apabila projek penambakan tebing yang sepatutnya dijalankan bagi mengurangkan hakisan di kawasan rumah mereka seperti tidak dijalankan.
Kebimbangan penduduk kian memuncak terutama apabila hujan lebat. Mereka khuatir hakisan tanah berlaku bila-bila masa saja apatah lagi kedudukan rumah dan jarak sungai yang menjadi tebing berkenaan adalah kurang daripada 50 meter.Penduduk, Che Ali Che Ya, 39, berkata keadaan tebing berkenaan membahayakan nyawa penduduk sekitar terutama penghuni di 10 rumah yang terjejas, sekali gus mengundang perasaan tidak senang hati dengan janji pihak terbabit dalam melaksanakan kerja berkenaan.
Katanya, hakisan tanah itu wajar dibendung dengan segera apatah lagi turut membahayakan nyawa kanak-kanak yang dilihat kadang-kadang menghabiskan masa mereka bermain bersama rakan di kawasan terbabit.
"Projek itu untuk menghalang tanah runtuh, sekali gus menyebabkan kekotoran Sungai Pelentong dan mengurangkan hakisan tanah yang menjejaskan 10 rumah.
"Namun, sikap acuh tak acuh pihak yang terbabit dalam menjalankan kerja penahan hakisan tebing mengecewakan penduduk sedangkan saya difahamkan ia sudah memasuki bulan keenam," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Che Ali berkata, sekiranya masalah itu berlarutan tanpa tindakan susulan, beliau dan penduduk lain khuatir suatu hari nanti tebing berkenaan akan runtuh, selain berlaku banjir akibat hujan lebat.
"Saya memohon pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera dan menyiapkan projek terbabit kerana kita tidak mahu ada kejadian tidak diingini berlaku pada masa depan," katanya yang tinggal di kawasan berkenaan lebih 20 tahun.
Penduduk, Muhammad Sani Surip, 27, berkata walaupun setakat ini tiada kejadian buruk membabitkan hakisan tanah di kawasan berkenaan, dia berharap pihak yang terbabit segera melakukan kerja penahanan tebing yang secara tidak langsung turut mencemarkan Sungai Pelentong.
"Apabila hakisan tanah berlaku, ia secara tidak langsung menyebabkan keadaan sungai menjadi kotor, malah kita turut risau sekiranya sungai berkenaan turut dipenuhi sampah sarap akibat tersumbat," katanya.
No comments:
Post a Comment