Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/08/30
Adaniah, Addzeq kerap dapat rawatan KOTA KINABALU: Saat mengetahui dua daripada tiga anaknya menghidap talasemia ketika masing-masing belum mencapai usia setahun adalah detik paling mengharukan bagi Jujinah Nining, 30.
Beliau yang bekerja di sebuah kolej kejururawatan di ibu negeri berkata, lebih menyedihkan kedua-dua anaknya iaitu Adaniah Hardin, 4 dan Addzeq, 3, kelihatan sihat dan riang walaupun menanggung penderitaan."Setiap bulan saya membawa mereka ke hospital untuk menerima rawatan penambahan darah. Ibu mana yang tidak sedih melihat anak sekecil itu meraung kesakitan," katanya ketika ditemui di Wad Pediatrik Hospital Likas di sini, baru-baru ini.
Adaniah dan Addzeq adalah antara 200 kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Likas yang menerima sumbangan Aidilfitri daripada Bank Rakyat cawangan Sabah.
Sumbangan disampaikan Ketua Wilayah Sabah Bank Rakyat, Latif Seeni.
Jujinah yang gembira dengan sumbangan hamper dan wang tunai itu mengakui ia sekurang-kurangnya menggembirakan kedua-dua anaknya.
"Mereka seronok tengok orang datang beri hadiah walaupun belum faham. Melihat mereka tersenyum sudah memadai bagi saya," katanya.
Sementara itu, Latif berkata, sumbangan sempena Aidilfitri di Wad Pediatrik Hospital Likas dilakukan Bank Rakyat sejak tiga tahun lalu.
"Hospital Likas dipilih kerana mempunyai ramai pesakit kanak-kanak dan wanita, sekali gus ia bersesuaian dengan matlamat kita bagi memberi sumbangan kepada golongan ini.
"Kami terharu melihat keseronokan mereka mendapat sumbangan, lebih-lebih lagi mengenangkan ada yang terpaksa beraya di hospital," katanya.
Latif juga tidak menolak untuk mempertimbangkan cadangan agar sumbangan Aidilfitri oleh Bank Rakyat dipanjangkan di hospital lain di negeri ini termasuk di pedalaman.
"Bank Rakyat akan mempertimbangkan jika ada cadangan untuk menyerahkan sumbangan di hospital lain di negeri ini termasuk di pedalaman. Lazimnya, jika ada keperluan di hospital terbabit termasuk jumlah pesakit kanak-kanak yang ramai, kita akan berkunjung ke situ untuk menyerahkan bantuan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Latif berkata Bank Rakyat mengalu-alukan lebih banyak koperasi di Sabah menyertai francais Skim Ar-Rahnu yang diperkenalkan di cawangan bank itu di seluruh negeri.
No comments:
Post a Comment