Sunday, August 8, 2010

Abdullah puji Pas tolak cadangan DAP



KEPALA BATAS 7 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi memuji ketegasan Pas menolak cadangan DAP untuk memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah.
Menurutnya, pendirian Pas itu wajar kerana kemudahan tersebut merupakan dasar kerajaan yang tidak pernah diubah.
“Jika Pas menyokong apa yang sudah menjadi dasar kerajaan, maka ia dianggap baik. Ia merupakan satu sokongan yang wajar diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mai... Riuh!!! peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di sini hari ini.
Semalam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat, hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencadangkan agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.
Kenyataan itu mendorong Pergerakan Pemuda UMNO Selayang dan Gombak membuat laporan polis supaya pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas mengenainya.

No comments:

Post a Comment