Sunday, August 8, 2010

Soi Lek bongkak, jahil



GEORGETOWN - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek disifatkan sebagai bongkak dan jahil atas tindakannya melabel negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan korup.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (RR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, kenyataan itu juga bersifat keterlaluan kerana membuat tanggapan tanpa mengetahui situasi sebenar masyarakat Islam.

“Malaysia perlu diselamatkan bagi memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain. Saya tidak mahu menghukum sesiapa kerana menjadi anti (Islam) tetapi dia (Dr Chua) telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. Bagi saya, ini tidak dapat diterima," katanya pada sidang media selepas berucap pada Persidangan Integriti Antarabangsa di sini, semalam.

Dalam ucapannya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star kelmarin, Dr Chua dikatakan telah memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang.

Bekas Menteri Kesihatan itu turut membidas UMNO dan Pas yang menggunakan agama bagi meraih sokongan masyarakat Melayu, yang apabila dua parti itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun.

Menurutnya, UMNO juga telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan Pas bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng cadang Soi Lek dalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global, malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi.

“Negara Muslim menderita sebagaimana dialami oleh India dan China dahulu. Hanya ketika India dan China bebas, merdeka serta tidak lagi didominasi kuasa imperialis, barulah kedua-dua negara ini dapat tunjuk potensi dan ambil tempat di persada dunia sebagai kuasa ekonomi. 
“Saya percaya negara-negara Islam lambat laun akan dapat meraih kembali kegemilangan mereka sebelum ini seperti China dan India, sekiranya terdapat sebuah pemerintahan yang baik seperti Islam yang memiliki pusat pembelajaran, keadilan dan keunggulan di bawah pemerintahan (Khalifah ke lapan) Umar Abdul Aziz. 

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan kenyataan Soi Lek sebagai tidak relevan dan tidak memahami perjuangan Pas.

“Perjuangan Pas dalam politik berlandaskan Islam sudah lama. Hanya kerana dia (Soi Lek) tidak faham dan tidak tahu agenda parti Pas, dia buat kenyataan begitu,” katanya.

Azizan berkata, Soi Lek tidak perlu cuba mengalihkan pandangan ramai daripada isu yang melanda MCA dengan kenyataan sedemikian kerana ia boleh mengelirukan rakyat.

Dalam kenyataannya itu, Soi Lek dipetik sebagai berkata, apabila dua parti Melayu dominan itu bersaing, akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif. Kecenderungan Pas menggunakan agama bagi meraih sokongan Melayu akan memaksa UMNO menggunakan cara sama, Seterusnya UMNO menjadi sebuah parti konservatif kerana bersaing dengan Pas.

Azizan berkata, Soi Lek tidak faham politik Pas, apabila menuduh Pas parti konservatif.

Menurutnya, sebagai pemimpin parti politik, Soi Lek patut hormati parti lain, bukan buat kenyataan yang boleh bangkitkan kemarahan mereka.

“Elok dia tumpu hal MCA sahaja. Dia bercakap macam dia tak tahu politik pula. Kalau tak faham politik, jangan kacau politik parti lain. Jaga MCA elok-elok,” katanya.

No comments:

Post a Comment