IPOH: “Saya merestui perkahwinannya dengan bakal suami baru dan berharap mereka berdua kekal bahagia selamanya,” kata Umi Ahmad, 53, ibu kepada Maizawati Zainal, 33.
Maizawati yang juga bekas isteri kepada penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy dijangka menamatkan zaman janda dengan pemuda pilihan hati yang ingin dikenali sebagai Mohd, 23, pada Isnin ini.
Umi berkata, sepanjang mengenali Mohd, dia mendapati lelaki yang kini bertakhta di hati anaknya sangat rapat dengan semua cucunya selain peramah dengannya.
“Saya pernah menemuinya beberapa kali ketika di Kuala Lumpur dan dia sangat peramah dengan saya dan anak Maizawati.
“Begitu juga reaksi anak Maizawati dengan Mohd. Saya yakin Mohd pilihan terbaik buat Maizawati,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Utama, Bercham, di sini, petang semalam.
Sementara itu, Maizawati ketika dihubungi semalam berkata, dia tidak mahu mendedahkan nilai hantaran yang ditetapkan untuk perkahwinannya pada Isnin ini, sebaliknya kedua-dua pihak bersetuju menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
“Nilai hantaran biar dirahsiakan dulu dan saya akan memaklumkannya pada majlis akad nikah Isnin ini.
“Cuma, saya berharap majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada Isnin (esok) berjalan lancar mengikut apa yang dirancang,” katanya.
Maizawati berkata, dia dijangka pulang ke Ipoh hari ini bagi menyelesaikan semua persiapan perkahwinan di kediamannya bersama ahli keluarga dan sanak saudara terdekat.
“Masih banyak lagi urusan (persediaan perkahwinan) yang belum diselesaikan di sini (Kuala Lumpur). Sebelum berangkat pulang ke Ipoh, saya terpaksa menyelesaikan beberapa perkara berkaitan.
“Buat masa ini, persiapan kini 80 peratus siap dan segala persediaan berjalan dengan lancar. Persiapan dijangka dapat dimulakan esok (hari ini) selepas segala urusan di sini (Kuala Lumpur) selesai,” katanya.
No comments:
Post a Comment