Sunday, August 22, 2010

Bahaya rasisme dijadikan modal perjuangan politik



2010/08/22



JIKA dilihat di internet nampaknya hubungan kaum seakan semakin buruk. Caci- mencaci serta kata-kata kesat menjadi kebiasaan.Di alam maya, seolah-olah tiada apa yang baik yang boleh dianggap sebagai modal harapan negara ini. Kita seakan menuju kehancuran dan perpecahan, berbalah di antara kaum dan antara satu sama lain.Mungkin keadaan sekarang tidaklah sebaik yang kita mahu, namun hubungan antara kaum bukanlah seteruk yang pernah dihadapi negara pada masa-masa dulu. 

Namun, kita tidaklah boleh menganggap keadaan kini tidak perlu dibaiki dan masalah antara kaum perlu diatasi. Demi masa depan negara, isu perkauman mestilah diatasi. 

Memanglah leceh hendak mengatasi masalah perkauman, ia kompleks dan sensitif. Tetapi apa boleh buat, ia mesti juga ditangani. 

Keadaan sekarang amat berbeza berbanding ketika negara kita muda dulu. Ketika itu ada juga masalah perkauman, malah lebih dahsyat lagi. 
Namun, kepemimpinan dulu berjaya menyatukan pelbagai parti yang mulanya berhaluan berbeza untuk bersatu dan melegakan keadaan yang hampir menjahanamkan negara. 

Kini apa yang dulunya sudah diterima, dipersoal. Apa yang dulu dibincang di bilik mesyuarat, kini dilaung-laungkan di luar. Kita kini juga terpaksa berubah dan tidak boleh lagi menggunakan cara dulu untuk menerangkan apa yang sudah termaktub. 

Contohnya, orang muda sekarang berbeza dari orang muda dulu. Mereka hidup di zaman serba boleh, mereka berfikiran global dan mempunyai pendapat yang berbeza mengenai negara dan dunia. 

Mereka tidak boleh menghayati sejarah negara yang hanya fakta dalam buku teks. Malaysia mereka menuju ke hadapan dan bukannya menoleh ke belakang. 

Dan mereka adalah jumlah terbesar, kini dianggarkan lebih dua pertiga daripada jumlah penduduk. 

Dari apa yang diketahui, orang muda kini kurang semangat perkauman. Mereka selesa dengan semua. 1Malaysia memang sesuai dengan mereka berbanding orang yang lebih tua. 

Oleh kerana mereka ramai – dikatakan beberapa juta daripada pengundi – maka kumpulan ini menjadi tarikan ahli politik kerana mereka kumpulan mampu mengubah rupa bentuk politik negara. 

Jika orang lama berasakan masalah perkauman lumrah hidup di Malaysia, golongan muda pula bertanya kenapa ia perlu wujud sama sekali. 

Oleh itu, ada ahli politik mencari peluang melamar golongan muda dengan menjanjikan mereka berupaya mewakili generasi muda ini – segala cita, cita rasa dan kebimbangan mereka akan diambil kira. 

Ada ahli politik yang bertumpu kepada perkara yang negatif. Yang negatif itulah biji benih rasisme. 

Di Malaysia, hidup kita semuanya ditentukan oleh bangsa. Dari politik ke polisi dan ke ekonomi, semuanya mempunyai asas perkauman. Semuanya berpunca dari negara kita yang berbilang bangsa, yang dibentuk hasil kompromi dan muafakat. 

Tetapi apabila kita biarkan perkauman mendominasi hidup kita, maka ia akan menjadi musuh besar. Jika kita biarkan segala kata dan bisikan kita berbaur perkauman, maka sudah tentulah masalah perkauman akan menjadi kenyataan. 

Label rasis selalunya digunakan untuk merendahkan maruah seseorang di khalayak ramai serta untuk melenyapkan suara seseorang. Siapa yang mahu mendengar kata-kata seorang rasis, jauh sekali berkawan dengannya? 

Adakah kemungkinan orang yang menggelar orang lain rasis, sebenarnya dia sendiri mengamalkan sikap perkauman? 

Adakah seorang yang memperjuangkan sekolah jenis kebangsaan seorang rasis? Adakah seorang yang mahukan lebih hak Bumiputera di bidang ekonomi seorang yang rasis? Adakah orang yang mempersoalkan bilangan orang Cina di dalam angkatan tentera, atau kelebihan orang Melayu dalam perkhidmatan awam, rasis? 

Adakah Dasar Ekonomi Baru ataupun Model Baru Ekonomi, rasis? 

Adakah perkataan seperti meritokrasi, sama rata, keadilan, peluang, dominasi, rasuah, semua adalah kod untuk rasisme? 

Kini apa yang tersirat, ditempik dan dilaungkan. Internet membolehkan orang menggunakan hina dan nista, kata kesat dan durjana, tanpa perlu menunjukkan muka. 

Kita boleh salahkan ahli politik, bukan semua, tetapi ramai juga, yang mengambil peluang menjaja rasisme sebagai modal menarik sokongan. 

Ada yang menceritakan kehancuran yang akan dihadapi negara ataupun betapa rosaknya keadaan sekarang oleh kerana perkauman, namun di sebalik semua kenyataan ini ada agenda politik. 

Rasisme mudah diuja. Kata-kata seorang guru, lagu penyanyi rap, tulisan penulis pojok atau ucapan ahli politik boleh menjana rasisme. Kita seolah-olah mencari yang negatif untuk membuktikan orang lain tidak baik. 

Bolehkah kita katakan rasisme sebenarnya membawa untung di dalam politik? 
Rasisme selalunya menunjukkan keburukan kita. Jika kita katakan kita kesal dengan masalah perkauman, tetapi ada juga di antara kita yang cuba melebarkan lagi jurang perkauman sedia ada. 

Memanglah kita patut bimbang, tetapi adakah keadaan sekarang akan membawa kepada sengketa kaum? Rasanya tidak, namun kita perlu berwaspada dan memperbaiki apa yang ada sekarang. 

Rasanya kita boleh jangkakan rasisme akan bertambah dengan proses politik kita terutama bila kita menuju Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Apa boleh buat. Kita mengamalkan demokrasi dan orang boleh menjanjikan apa saja ketika berpolitik. 

Namun, ia menjadi bahaya jika rasisme dijadikan modal politik yang tidak dibendung dan berupaya menyelubungi hidup kita. 

Rasisme adalah senjata politik yang amat berkesan, namun ia juga boleh memakan tuan.

No comments:

Post a Comment