Saturday, August 21, 2010

Dua ahli kariah masjid akui doa sebut KM


TASEK GELUGOR 20 Ogos - Dua ahli kariah dari dua buah masjid berbeza di Pulau Pinang mengesahkan berlaku penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat seperti yang didedahkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri semalam.
Mereka ialah Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di sini, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail.
Hamir mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu.
Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.
''Rakan-rakan kariah masjid ada menjemput dia (Zakaria) untuk memberi khutbah dan kita tiada halangan.
"Kalau ditanya mengenai isu ini, kita memang akui nama ketua menteri memang ada disebut dalam doa khutbah.
''Nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut langsung tetapi ingin saya tegaskan bahawa pihak kariah sendiri tidak membuat apa-apa arahan atau permintaan supaya nama ketua menteri disebut dalam doa khutbah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Hamir menambah, jawatakuasa kariah mempertahankan penggunaan nama Guan Eng dalam doa khutbah kerana mendakwa ia bertujuan memohon kepada Allah supaya Setiausaha Agung DAP itu diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam.
Ditanya kenapa nama Guan Eng disebut dalam doa berkenaan tetapi tidak nama Yang di-Pertuan Agong, Hamir menjelaskan, beliau sendiri tidak pasti kerana dalam teks doa tertera nama Tuanku Mizan.
"Mungkin dia (Zakaria) terlupa sebab dia pun dari Perak bukan dari sini," ujarnya..
Hamir juga mengakui kejadian itu menyebabkan pihaknya dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Seberang Perai Utara (SPU) untuk memberi penjelasan.
Sementara itu, Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelutong memberitahu, perkara sama turut berlaku di masjid di kawasannya kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.
Menurutnya, khatib ketika itu hanya menyebut nama Guan Eng dalam doanya dan bukan Tuanku Mizan atau Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.
Menceritakan keadaan ketika itu, beliau menjelaskan, para jemaah agak tergamam apabila mendengar khatib membacakan bacaan doa berkenaan.
"Ada dalam kalangan jemaah berpandangan di antara satu sama lain dan tertanya-tanya mengenai kejadian itu.
"Kenapa khatib tidak menyebut nama kedua-dua pemimpin utama ini sedangkan nama Guan Eng disebut, itu yang kita tidak pasti," katanya.

No comments:

Post a Comment