Saturday, August 21, 2010

Gejala sosial membimbangkan


Isu gejala sosial semakin hari semakin meningkat, pembuangan bayi, rogol, sumbang muhrim dan sebagainya seakan satu wabak yang akan sentiasa menular seperti tiada penawar, siapakah yang patut dipersalahkan, remaja, ibu bapa atau masyarakat? Persoalan dibiarkan tidak berjawab, keluhan, rungutan dan bermacam lagi menjadi halwa telinga. Lawatan daripada Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) ke Kumpulan Media Karangkraf, semalam seakan ruang untuk merungkai persoalan ini. Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Ahli Majlis Perunding MPWIM, Datin Aminah Pit Abdul Rahman. 


Kurangnya didikan agama dikatakan faktor utama meningkatnya gejala sosial, walaupun, minoriti pelaku adalah terdiri daripada golongan yang mendapat didikan agama secukupnya, adakah Datin bersetuju dengan pandangan ini? 

AMINAH: Apabila kita melakukan sesuatu kerana Allah Taala, pasti hikmat yang diperoleh bertepatan dengan apa yang diamalkan tetapi jika kita melakukannya kerana ia perlu maka pelbagai masalah akan wujud. 

Ayah saya selalu berpesan, jagalah solat, kerana solat itu adalah tiang, dan daripada pemerhatian saya mendapati ramai golongan yang terjerumus ke lembah ini adalah golongan yang tidak tahu sembahyang. 

Saya bersetuju dengan kenyataan ini kerana hanya amalan sahaja yang mampu menangkis diri kita daripada ke lembah itu. 


Isu gejala sosial berada di tahap menakutkan, namun mengapa masyarakat sekarang masih berada di zon selesa sedangkan isu itu adalah pembunuh generasi akan datang? 

AMINAH: Masyarakat tidak mengetahui angka sebenar gejala sosial, kerana itulah mereka bersikap berpeluk tubuh, ‘jangan menjaga tepi kain orang’ masih kuat membelenggu pemikiran masyarakat kita. 

Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati peratusan gejala sosial di negara ini berada di tahap yang membimbangkan, terlalu sedih untuk diperkatakan jumlahnya dan kebanyakan remaja yang terlibat adalah bangsa Melayu. 


Kenapa pengkaji tidak mendedahkan angka sebenar jumlah remaja terlibat dengan gejala sosial kepada orang ramai sedangkan ianya penting? 

AMINAH: Kajian berkenaan adalah sulit untuk didedahkan kerana itu adalah kajian universiti, pihak berkenaan enggan kerana tindak balas daripada pihak luar akan mendatang kesan yang sukar untuk dijangkakan. 

Cara untuk menyekat penularan gejala sosial ini dengan menjadikan pendidikan seks sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah, adakah wajar mata pelajaran ini diajar kepada pelajar sekolah terutama murid sekolah rendah? 

AMINAH: Saya dilahirkan di zaman 60 an, zaman yang ‘bersih’ daripada anasir-anasir luar jika dibandingkan dengan keadaan dihadapi remaja sekarang, ibu bapa amat menekankan adab dan terlalu sukar untuk membincangkan hal ini, kami hanya dididik supaya jangan berdekatan ataupun bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim. 


Ibu bapa adalah insan yang paling hampir dengan anak-anak, tumpuan daripada mereka akan menentukan cemerlangnya anak itu, tetapi akibat tuntutan kerja dan tanggungjawab menyebabkan layanan terhadap anak bergelar remaja ini hambar, adakah kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa mendorong anak-anak untuk melakukan sesuatu bagi memastikan mereka mendapat ‘cinta’ daripada lelaki sehingga terjadinya ‘virus ‘ini? 

AMINAH: Sebagai anak, mereka hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan sentiasa beringat sebelum kena, nasihat daripada ibu bapa harus dijadikan panduan, pertalian tidak akan putus dan kedua-dua pihak saling memerlukan, walaupun terlampau sibuk, ibu bapa perlu memantau segala aktiviti anak-anak. 

Cara didikan ibu bapa amat berbeza dengan keadaan sekarang, anak-anak amat menghormati dan tidak akan melawan apa yang dilarang oleh orang tua tetapi sekarang hanya tinggal kenangan. 

Anak-anak melakukan sesuatu tanpa menghiraukan perasaan orang tua, didikan murni yang diamalkan telah lupus. 

Keputusan kerajaan Negeri Melaka untuk menubuhkan sekolah khas bagi remaja hamil bertempat di Jasin menimbulkan jawapan dan spekulasi daripada ramai pihak, ada yang bersetuju dan ramai juga kurang bersetuju dengan cadangan itu, bagaimanakah pula dengan Datin? Adakah cadangan berkenaan dapat mengurangkan kadar pembuangan bayi daripada terus berleluasa? 

AMINAH: Bagi saya, idea mewujudkan sekolah bagi remaja hamil adalah salah satu tindakan yang memalukan kepada individu berkenaan, kerana masyarakat pasti akan memandang serong dengan keadaannya, sekolah hamil seperti suatu tanda kepada remaja yang mengandung anak tidak sah taraf, selalu kedengaran kata-kata ini “masuk ke sekolah itu, pasti dia mengandung?, remaja pasti berada dalam situasi tertekan , penubuhan sekolah khas itu tidak akan 

Isu ini tidak akan berkurangan selagi tidak timbul kesedaran dalam diri mereka, segalanya bermula dari diri remaja itu sendiri. 


Baru-baru ini, negara digemparkan dengan cadangan untuk memberikan hukuman bunuh kepada individu yang terlibat dengan pembuangan bayi, namun tidak sampai 24 jam hukuman itu diwartakan semakin berleluasa aktiviti berkenaan, adakah ianya seakan menguji kredibiliti undang-undang di Malaysia? 

AMINAH: Hukuman mati akan menakutkan orang ramai, tetapi cadangan itu diharap diteliti lagi. 


Apakah yang Datin harapkan untuk mengubah situasi yang berlaku? 

AMINAH: Keinsafan datang daripada diri individu itu sendiri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti MPWIM hanyalah badan penggerak yang boleh melindungi remaja-remaja atau individu yang tidak mempunyai tempat untuk berlindung dan membantu menyelesaikan masalah yang melanda, harapan saya agar, adanya pihak yang ingin memberi sumbangan kepada kami untuk meneruskan aktiviti kebajikan ini. 

Mereka perlu dibantu, bukannya dikelewehkan, pihak MPWIM berharap segala perancangan yang dirangka akan berjalan dengan lancar dan bantulah kami membantu mereka yang memerlukan.

No comments:

Post a Comment