Saturday, August 21, 2010

MAIPP nafi keluar arahan guna nama Guan Eng dalam khutbah


PULAU PINANG 20 Ogos - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menafikan pihaknya ada mengeluarkan arahan atau menyediakan sebarang teks baru supaya nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dimasukkan dalam doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Yang Dipertuanya, Ellias Zakaria berkata, doa yang dibaca khatib di negeri ini adalah sama seperti yang digunakan oleh seluruh masjid sejak dahulu lagi yang antara lain mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam negeri.
Namun jelas beliau, pihaknya tidak mampu memantau semua masjid bagi memastikan setiap doa yang dibaca, diikuti seperti yang telah ditetapkan mengikut peraturan sedia ada.
''MAIPP kena siasat dahulu kesahihan dakwaan berkenaan dan masjid yang terlibat kerana sehingga kini tiada aduan yang kita terima memaklumkan perkara tersebut.
''Justeru saya minta mereka yang tahu dan mendengar tentang perkara ini datang dan membuat laporan kepada MAIPP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas bantahan yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri apabila nama Guan Eng digunakan dalam bacaan khutbah solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa masjid baru-baru ini.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.
Mengulas lanjut, Ellias berkata, pihaknya dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan termasuk menyoal siasat pihak masjid yang dikatakan terlibat dalam isu tersebut.
''Sebagai sebuah majlis agama dan jawatan yang dipertuanya sendiri dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, kami tidak akan sesekali bertindak sedemikian dan menafikan hak kemuliaan Seri Paduka kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dibenarkan.
''Bagaimanapun jika terjadi, ia adalah berdasarkan pada kehendak individu itu sendiri dan tidak ada kaitan dengan MAIPP,'' katanya.
Menurutnya, jika terbukti perkara itu berlaku, pihaknya akan merujuk kepada Jawatankuasa Penulisan Khutbah yang dipengerusikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad dan terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment