Saturday, August 21, 2010

UMNO terima lima aduan


TASEK GELUGOR 20 Ogos - Badan Perhubungan UMNO negeri telah menerima sebanyak lima aduan berhubung bacaan doa dalam khutbah solat Jumaat yang menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya berkata, aduan itu dibuat oleh jemaah di lima buah masjid di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Georgetown.
Menurutnya, aduan itu menyatakan khatib bertugas hanya menyebut nama Guan Eng dan bukannya nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa pada khutbah kedua.
"Khatib sepatutnya menggunakan teks khutbah yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk solat Jumaat dan tidak mengubah sesuka hati isi kandungannya.
"Bagaimanapun, banyak masjid yang dikuasai penyokong dan ahli Pas enggan menggunakan teks yang disediakan tetapi menggunakan teks mereka sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Badan Perhubungan UMNO negeri membantah penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa buah masjid baru-baru ini.
Perkembangan itu, tegasnya, amat mengejutkan kerana seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri ini.
Shabudin turut menggesa MAIPP dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menyiasat perkara berkenaan bagi mengelak daripada berulang.

No comments:

Post a Comment