Wednesday, August 4, 2010

PBB tubuh panel siasat serangan flotila


GENEVA 3 Ogos - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menubuhkan panel yang dianggotai empat orang semalam untuk menyiasat serangan berdarah tentera Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza, Mei lalu.
Panel itu ditubuhkan selepas Israel secara mendadak mengubah pendirian mereka dengan memutuskan untuk menyokong siasatan itu.
Serangan komando Israel pada 31 Mei lalu menyebabkan sembilan aktivis Turki terbunuh dan memburukkan lagi krisis yang sememangnya tegang antara kedua-dua negara itu.
Panel itu akan dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer dan Presiden Colombia, Alvaro Uribe sebagai Timbalan Pengerusi, sementara dua lagi ahli masing-masing dari Israel dan Turki.
Identiti wakil dari Turki dan Israel itu bagaimanapun tidak diberikan tetapi panel dijadualkan mula bertugas pada 10 Ogos ini dan akan menghantar laporan pertama mereka pada pertengahan September.
Keputusan Israel untuk menyokong panel itu sangat tidak dijangkakan selepas beberapa minggu bertegas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana siasatan antarabangsa serta mahu melancarkan dua inkues dalaman sendiri.
"Keputusan menyokong panel ini dibuat selepas menerima nasihat daripada tujuh anggota forum menteri-menteri Israel yang menjamin panel ini seimbang dan adil untuk menjalankan siasatan," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Bulan lalu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB beribu pejabat di Geneva menubuhkan panel pakarnya sendiri untuk menyiasat sama ada serangan berdarah Israel ini melanggar undang-undang antarabangsa.
Israel bagaimanapun bertegas tidak akan bekerjasama dengan siasatan itu kerana menganggap panel itu 'berat sebelah'.
Ki-moon, yang mengadakan rundingan di saat-saat akhir dengan pemimpin Israel dan Turki sepanjang hujung minggu lalu berkata, panel itu akan memberikannya cadangan 'untuk menghalang insiden sama berulang' di masa hadapan.
Sementara itu, jurucakap PBB, Martin Nesirky berkata, inkues itu bukanlah satu siasatan jenayah dan menyatakan Ki-moon akan mengumumkan wakil dari Turki dan Israel dalam tempoh beberapa hari lagi. - AFP

No comments:

Post a Comment