Wednesday, August 4, 2010

Jangan cetuskan semula isu kalimah Allah - TPM



PUTRAJAYA 3 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya tidak mencetuskan semula isu berkaitan kalimah Allah yang masih dibicarakan di mahkamah.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, tindakan mana-mana parti politik membincangkan isu tersebut secara terbuka boleh mencetuskan suasana yang boleh menghangatkan semula keadaan yang sudah sejuk.
Kata beliau, isu kalimah Allah perlu diselesaikan secara baik seperti mana pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan agar keharmonian antara kaum di negara ini terus terpelihara.
"Kita sudah tahu apakah pendirian kerajaan, jadi sepatutnya parti-parti komponen pun akur supaya tidak menjadi punca yang akan menghangatkan semula isu ini. Hal-hal sebegini perlu diambil perhatian.
"Saya kurang pasti kenapa DAP dan MCA pendiriannya hampir sama dalam hal sebegini kerana kita tahu perkara itu sudah jadi satu perbincangan hangat dan mencetuskan keadaan yang tidak begitu sihat, jadi perkara ini perlu diselesaikan secara baik," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Belia kali pertama di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas gesaan MCA dan DAP yang dilihat sepakat bersetuju supaya pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan katolik, Herald ditarik balik.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Loh Seng Kok dilaporkan berkata, MCA sependapat dengan DAP supaya kalimah Allah turut boleh digunakan oleh agama lain.
Kontroversi berhubung penggunaan kalimah Allah pernah menggemparkan negara apabila berlaku insiden menyerang gereja dan masjid.
Isu tersebut kembali reda apabila kerajaan memfailkan tuntutan di mahkamah supaya penggunaan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam.
Sehubungan itu, tegas Muhyiddin, komen-komen yang hendak dibuat perlu mengambil kira kepentingan umum daripada memikirkan soal kepentingan politik atau pentadbiran sesebuah pihak.
"Komen-komen yang dibuat secara terbuka ketika proses rayuan dan perbicaraan masih berjalan di mahkamah boleh dianggap sebagai subjudis," kata beliau.

No comments:

Post a Comment