SHAH ALAM 3 Ogos - Apakah benar pelakon, pengacara dan penyampai radio, Raja Azura atau lebih mesra dipanggil Kak Engku sedang menghadapi masalah rumah tangga?
Setakat ini ia masih menjadi tanda tanya. Raja Azura, 38, atau suaminya, Adzmin Tan Sri Osman, 37, dikatakan telah memfailkan permohonan berkaitan perkahwinan mereka di Mahkamah Rendah Syariah di sini baru-baru ini.
Wartawan yang bergegas ke Mahkamah Rendah Syariah petang ini setelah mendengar khabar kes Raja Azura akan disebut di hadapan hakim, bagaimanapun turut gagal mendapatkan sebarang pengesahan.
Kelibat pasangan tersebut juga tidak kelihatan di mahkamah.
Difahamkan permohonan membabitkan pasangan berkenaan telah disebut di hadapan Hakim Syarie, Saharuddin Selamat di kamar beliau pagi ini.
Setakat ini tidak diketahui bentuk permohonan yang telah dikemukakan di mahkamah tersebut.
Seorang peguam syarie yang dikatakan mewakili Raja Azura ketika dihubungi juga enggan mengesahkan mewakili artis itu.
Sementara itu, Raja Azura yang merupakan penyampai radio Sinar FM ketika dihubungi Utusan Malaysia kira-kira pukul 9 malam semalam memberitahu, khabar angin itu tidak benar.
''(Semua itu) tiada apa yang berlaku, itu hanya cakap-cakap orang bahkan awak bukan orang pertama bertanyakan pasal isu ini kepada saya,'' katanya.
Raja Azura menambah, dia ketika itu sedang sibuk menyiapkan hidangan untuk makan malam bersama suaminya.
Usaha untuk menghubungi semula Raja Azura hari ini gagal apabila pelakon itu tidak menjawab panggilan telefon manakala khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak berbalas.
Raja Azura atau nama penuhnya, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, berkahwin dengan Adzmin iaitu anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof pada Mac 2001.
Pasangan tersebut mempunyai dua anak lelaki iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan seorang anak perempuan, Puteri Mia Maizura, 4.
No comments:
Post a Comment