Wednesday, August 4, 2010

Perogol tidak gerun hukuman mati



JOHOR BAHRU 3 Ogos - Cadangan supaya kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan perlu diambil berbanding menggubal undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai pihak dengan tidak hanya mereka yang dekat dengan institusi pendidikan sahaja, amat diperlukan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.
"Kita ambil contoh kes pengedaran dadah. Walaupun sudah dinyatakan bahawa edar dadah boleh dihukum gantung, masih ramai yang melakukan kesalahan itu.
"Begitu juga dengan kes ini. Kalau sudah penjenayah, mereka tiada perasaan takut malah merasakan diri mereka kebal dengan pelbagai hukuman yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Selangkah Ke Universiti di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati.
Cadangan itu dibuat berikutan semakin banyak kanak-kanak menjadi mangsa penjenayah sejak kebelakangan ini.
Mohd. Puad menambah, penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut hanya memikirkan kepentingan sendiri tanpa menghiraukan kesan buruk kepada mereka dan mangsa.
"Mereka ini fikir tentang keuntungan untuk diri sendiri sahaja. Kalau mereka rasa nak buat jenayah, di mana-mana pun mereka akan lakukan," katanya.
Mengenai program Selangkah ke Universiti itu, Mohd. Puad berkata, program sebegini harus diteruskan dengan melibatkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat.

No comments:

Post a Comment