Wednesday, August 4, 2010

Empat akta kawal maklumat laman web



KUALA LUMPUR 3 Ogos - Semua jenis kandungan berangkai termasuk laman web di Internet tertakluk kepada empat akta yang telah digubal di negara ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, akta itu adalah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
''AKM 1998 mengandungi beberapa peruntukan mengenai kandungan terlarang termasuklah Seksyen 211 dan 233.
''Ia melarang pemberian kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr. M. Malasingam pada sidang Dewan Negara hari ini.
Malasingam mahu mendapatkan penjelasan tentang mekanisme yang disediakan bagi menangani trend dan paradigma kehidupan terutama keruntuhan moral di bandar mahupun luar bandar akibat ledakan jalur lebar.
Tambah Rais, sebarang tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah berdasarkan kandungan yang mempunyai unsur-unsur maksiat atau berita yang tidak menyenangkan.
''Bukan jalur lebar yang perlu dipersalahkan atau dianggap sebagai penyalur maksiat dan berita-berita yang tidak menyenangkan tetapi kandungan sesuatu jaringan," katanya.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 405 aduan diterima melibatkan kandungan yang mengandungi unsur lucah iaitu sebanyak 207, mengancam atau bersifat jelik (196) dan dua kes mengenai sumber-sumber palsu dan sumbang.
''Ia jelas membuktikan bahawa SKMM sememangnya bertindak tegas terhadap kesalahan-kesalahan seperti ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, kewujudan kafe siber adalah di bawah tugas dan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan.
''Sekiranya terdapat aduan mengenai kandungan di dalam komputer di pusat berkenaan yang menyalahi undang-undang, SKMM berhak mengambil tindakan terhadap perkara berkenaan," jelasnya.
TAJUK-

No comments:

Post a Comment