KUALA LUMPUR 3 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa Perdana Menteri ketika berlakunya skandal penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) perlu bertanggungjawab tetapi ia ada batasannya.
Menurut beliau, tidak semua perkara boleh dibebankan kepada Perdana Menteri kerana terdapat beberapa perkara yang tidak diketahuinya.
"Jadi kita tidak boleh salahkan Perdana Menteri jika dia tidak tahu. Jika sesiapa yang tahu mengenai perkara ini, sila dedahkannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Yayasan Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini.
Ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa mendakwa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik, Mahathir berkata, pendakwaan sedang berjalan dan bukan hak beliau membuat sebarang spekulasi.
"Bersalah atau tidak, itu kita tidak tahu lagi. Biarlah mahkamah yang menentukannya. Kita tidak boleh menuduh secara melulu tanpa sebarang bukti," katanya.
Mengenai pertumbuhan digit tunggal keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua 2010, Mahathir berkata, perkara tersebut mungkin benar.
"Berdasarkan keadaan sekarang, perkara tersebut agak munasabah," jelasnya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa negara dijangka mencatatkan pertumbuhan digit tunggal bagi suku kedua 2010.
No comments:
Post a Comment