Friday, September 3, 2010

'Adik jadi penoreh getah'

KANGAR: “Adik, Nuraslinda yang baru berusia 11 tahun, tidak bersekolah sebaliknya menjadi penoreh getah kerana kesempitan hidup di kampung di Bangkuan, Satun, selatan Thailand, manakala saya bertekad kembali ke Perlis untuk meneruskan persekolahan di sini selepas dibuang keluarga sebelah ayah,” keluh remaja berusia 13 tahun, Nurshakirah Abdul Wahab, ketika ditemui menumpang di rumah jirannya di Kampung Sungai Baru, dekat sini, semalam.


SUSAH... Nurshakirah menunjukkan  buku nota dan beg sekolah adiknya  yang kini bekerja sebagai penoreh getah di Satun, Thailand.
SUSAH... Nurshakirah menunjukkan buku nota dan beg sekolah adiknya yang kini bekerja sebagai penoreh getah di Satun, Thailand.

Menurutnya, selepas berada di Bangkuan iaitu kampung ibunya sejak beberapa bulan lalu, dia bertekad menyelinap bersama penumpang lain menaiki teksi seorang diri dari Satun untuk pulang ke Sungai Baru, empat hari lalu dan menumpang di rumah jiran dikenali sebagai Rosli Ya, 55, di kampung itu.

Bapa gadis itu, Abdul Wahab Ibrahim, 58, warga Malaysia dan ibunya, Wan Aishah Sufi, 43, warga Thailand, sedang meringkuk dalam penjara di Satun kerana terbabit dalam kesalahan dadah sejak setahun lalu.

“Kehidupan kami terumbang-ambing selepas ibu bapa kami dipenjara ketika empat hari umat Islam menyambut Aidilfitri tahun lalu.

“Abang sulung (berlainan ibu) pula menghantar kami dua beradik ke kampung sebelah ibu di Bangkuan walaupun kami enggan dengan alasan dia tidak sanggup menjaga kami kerana kesempitan hidup.

“Nuraslinda, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, terpaksa berhenti sekolah selepas dipaksa menetap di Thailand yang asing bagi kami manakala saya pulang ke Sungai Baru untuk mencuba nasib di sini.
“Saya amat berharap ada pihak di sini menolong membawa pulang Nuraslinda ke Perlis bagi membolehkan dia meneruskan persekolahan. Lagi pula usianya masih muda untuk menjadi penoreh getah,” katanya yang amat sedih sambil mengesat air mata.

Hadir sama Penyelaras Umno kawasan Simpang Empat, Abu Bakar Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Baru, Ramli Sabu.
Nurshakirah berkata, dia terpaksa melupakan hasrat menyambut Aidilfitri seperti kanak-kanak sebayanya kerana memikirkan nasib Nurshakirah dan mahu dia pulang ke Sungai Baru untuk meneruskan persekolahan.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi, dekat sini, berkata sehingga kini, dia belum mempunyai Mykad kerana tiada sesiapa mahu menguruskannya selepas ibu bapanya di penjara tahun lalu.

No comments:

Post a Comment