Friday, September 3, 2010

Syabu: PDRM sangkal dakwaan polis Indonesia



Zul Hasnan Najib Baharuddin (kiri) bersalam dengan Othman Harun sambil disaksikan oleh Ismail Omar pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, semalam. - utusan/Aizzul A.Majid


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Belumpun reda kontroversi rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi membaling najis dan membakar Jalur Gemilang di hadapan Kedutaan Malaysia di Indonesia, pihak berkuasa negara jiran itu pula dikesan cuba menghangatkan suasana.
Polis Republik Indonesia di daerah Kepulauan Riau (Polda Kepri) dalam satu kenyataannya kelmarin menuduh Malaysia sebagai negara pengeluar dadah jenis syabu terbesar di dunia.
Tuduhan itu dikeluarkan oleh seorang pegawai polis berpangkat Komisioner, Heru Nugraha dan disiarkan dalam akhbar Padang Today.
Pegawai polis itu dilaporkan mendakwa, sembilan daripada 10 suspek yang ditahan kerana menyeludup syabu ke Batam dan Kepulauan Riau berasal dari Malaysia.
Heru dalam kenyataannya turut bimbang jika generasi bangsa Indonesia bakal rosak gara-gara syabu dari Malaysia yang tidak dikawal oleh pihak berkuasa.
Berikutan kenyataan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan polis Indonesia bahawa Malaysia adalah negara pengeluar syabu terbesar.
Pemangku Pengarahnya, Datuk Othman Harun berkata, dakwaan Polda Kepri itu tidak berasas kerana mereka bukan agensi yang diiktiraf untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Apa yang didakwa itu adalah tidak benar kerana masalah pengedaran syabu bukan berlaku di negara kita sahaja malah di seluruh dunia.
"Agensi yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jenayah dan Dadah (UNODC) dan bukan pihak berkuasa dari mana-mana negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima tugas sebagai Pemangku Pengarah JSJN daripada Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin, 58, yang akan bersara pada 12 September ini.
Majlis penyerahan tugas disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman, hari ini.
Othman menambah, meskipun terdapat peningkatan dalam gejala pengedaran syabu di negara ini terutama di pintu masuk negara, namun ia masih dalam keadaan terkawal.
Menurut beliau, JSJN sehingga kini telah melakukan pelbagai risikan dan tindakan untuk mengekang masalah tersebut.
"Buktinya kita berjaya merampas dadah dalam kuantiti lebih banyak seperti syabu sebanyak satu tan pada tahun lepas yang dibawa masuk dari negara luar.
"Untuk tahun ini, kita telah merampas ratusan ribu biji pil Eramin 5 selain menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang membuka makmal syabu di negara ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment