Friday, September 3, 2010

Kamera: Selangor mahu selesai secara politik



SHAH ALAM 2 Sept. - Kerajaan negeri tidak berminat membuat laporan polis berhubung penemuan kamera perakam video yang dipercayai disembunyikan di dalam bilik Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 10 Ogos lalu.
Setiausaha Sulit Menteri Besar, Faekah Husin berkata, itu merupakan pendirian kerajaan negeri setakat ini meskipun pelbagai pihak mendesak menteri besar membuat laporan polis berhubung penemuan itu.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri mahu menangani kes berkenaan secara politik kerana tidak menolak kemungkinan tujuan kamera itu diletakkan di dalam bilik menteri besar adalah bermotifkan politik.
"Setakat ini laporan polis tidak akan dibuat. Jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri menyiasat kes ini secara dalaman dan masih lagi meneliti maklumat termasuk beberapa wajah yang direkodkan dalam kamera berkenaan.
"Bagaimanapun, setakat ini jawatankuasa itu belum membuat sebarang keputusan sehingga mesyuarat diadakan esok. Jika mereka ingat dengan meletakkan kamera video berkenaan akan menganggu konsentrasi kami, mereka sebenarnya gagal," katanya di sini hari ini.
Faekah memberitahu, tiga pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hadir di pejabat menteri besar pagi ini untuk meneliti sistem keselamatan di pejabat berkenaan.
Katanya, kehadiran pegawai polis berkenaan hasil kerjasama Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar yang diminta oleh Abdul Khalid sebelum ini memantau dan memeriksa sistem keselamatan pejabatnya dan bukannya menyiasat kes penemuan kamera perakam video berkenaan.
Menurutnya, daripada pemantauan dan pemeriksaan fizikal itu pegawai polis berkenaan berpendapat sistem keselamatan di pejabat menteri besar berada pada tahap yang longgar dan memerlukan penambahbaikan.
"Ekoran itu, pihak polis akan mengemukakan laporan serta cadangan-cadangan untuk pertimbangan pejabat ini.
"Mereka turut mencadangkan sekiranya penemuan kamera video itu mahu disiasat daripada aspek jenayah, maka pejabat ini perlu membuat laporan kepada pihak polis," ujarnya.
Kira-kira pukul 6 petang 10 Ogos lalu, Abdul Khalid menemui sebuah kamera perakam video yang disembunyikan dalam bilik pejabatnya dipercayai untuk mengintip aktiviti harian beliau.

No comments:

Post a Comment