SHAH ALAM: Ibu bapa diingatkan supaya tidak meninggalkan anak mereka terlalu lama di bawah penjagaan pembantu rumah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Beliau menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kecil atau bayi misalnya, supaya memberikan lebih perhatian dari menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menjaga anak mereka kepada pembantu rumah.
"Jangan serahkan sepenuhnya anak kepada pengawasan pembantu rumah. Kadang-kadang ada yang tinggalkan anak berhari-hari lamanya dan tidak ambil tahu langsung sedangkan ia mungkin mendatangkan bahaya kepada anak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian seorang bayi lelaki yang berusia 15 bulan, Tan Jin Yong, yang dipercayai akibat dicekik pembantu rumah kira-kira pukul 4 petang pada 27 Ogos lepas, di Pusat Bandar Puchong.
Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati bayi itu turut mengalami pendarahan dalam otak dan jangkitan kuman pada paru-paru selain mengalami pendarahan dalaman. Semalam polis menahan pembantu rumah warga Indonesia, berusia 25 tahun di sebuah rumah di Taman Melawati Ampang bagi membantu siasatan.
Khalid berkata pembantu rumah itu direman mulai hari ini.-Bernama
No comments:
Post a Comment