Wednesday, September 15, 2010

Hentikan SMS, komen perkauman



SHAH ALAM – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mahu segala komen di internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berkaitan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya yang berbaur perkauman, dihentikan segera. 

Menurut Ahmad, sejarah kes jenayah kejam yang berlaku di negara ini melibatkan pelbagai kaum dan agama dan bukannya tertumpu pada satu kaum sahaja. 

“Saya dimaklumkan terdapat beberapa SMS yang berbaur perkauman sedang disebarkan berhubung kes Sosilawati. 

“Kita minta dihentikan perkara ini kerana penjenayah adalah ‘buta warna’ dan tidak melihat kepada faktor kaum. Sebaliknya wang, harta dan sifat tamak yang menjadi motif mereka melakukan perbuatan jenayah,” katanya. 

Ahmad berkata, penjenayah terlibat juga telah menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang cintakan keamanan. 

“Penjenayah melanggar ajaran agama yang mengharamkan segala bentuk kezaliman. 

“Mereka juga bertindak di luar batasan perikemanusiaan dan bersifat kebinatangan,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad menyifatkan pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain sebagai kejadian di luar kewarasan manusia kerana sanggup bertindak kejam. 

“Saya sangat sedih dengan apa yang menimpa Sosilawati dan rakan-rakannya kerana beliau seorang yang baik dan banyak membantu saya semasa menjadi Ketua Puteri UMNO,” katanya.

No comments:

Post a Comment