KASIH SUAMI...Zainuddin sentiasa berada di sisi isteri tersayang di Hospital Sungai Buloh.
Kehidupan keluarganya yang dulu ceria kini bertukar duka apabila isteri tercinta yang juga seorang guru di sebuah Sekolah Pendidikan Khas di sekitar Kuala Selangor diserang penyakit ganjil sejak awal tahun ini.Zainuddin Suyot, 50, berkata isterinya mula menghidap penyakit misteri sejak awal tahun ini yang mana pada mulanya menunjukkan tanda seperti tidak lalu makan dan mudah pitam sebelum keadaannya menjadi lebih serius.
Menurutnya, isteri tersayang yang dulu seorang yang aktif dan ceria dengan sesiapa saja berubah menjadi lemah dan tidak berdaya.
Katanya, atas dasar kasihnya sebagai seorang suami, dia tidak pernah berputus asa untuk membawa isteri tersayang berubat di merata tempat dan hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Pelbagai usaha saya jalankan, termasuk rawatan hospital dan tradisional semata-mata bagi memastikan dia sihat seperti dulu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, baru-baru ini.
Katanya, setiap hari dia akan menjalankan rutinnya membersihkan isteri tersayang dan memastikan keadaan isterinya yang kini terlantar tidak sedarkan diri berada dalam keadaan terjaga dan rapi.
Katanya, pada pertengahan Julai lalu, keadaan isterinya menjadi lebih kritikal dan terpaksa dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
“Menurut doktor, isteri saya menghidap penyakit paru-paru dijangkiti kuman selain mempunyai ketumbuhan di kepala dan keadaan itu amat membimbangkan kami sekeluarga.
“Hampir dua bulan dia tidak sedarkan diri, sebagai suami saya tidak pernah berputus asa kerana dia memerlukan saya untuk memberikan kekuatan kepadanya untuk melawan penyakit yang ditanggungnya sekarang,” katanya.
Zainuddin berkata, hospital kini menjadi rumah keduanya dan kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini disambut dalam keadaan sederhana kerana perkara lebih diutamakan adalah untuk melihat isterinya sihat seperti sedia kala.
Katanya, kini isterinya mula menunjukkan tindak balas positif kerana sudah membuka mata dan keadaan berkenaan membuatkan hatinya amat gembira.
“Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini apabila melihat dia beransur sihat walaupun masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Katanya, isterinya adalah segala-galanya dan setiap saat dia akan berusaha untuk berada di sisi orang tercinta itu bagi memberi kekuatan dan semangat untuk melawan penyakit dihidapi.
No comments:
Post a Comment