Wednesday, September 15, 2010

PM tentang sekeras-kerasnya perlakuan puak pelampau


15/09/2010 2:43pm

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menentang sekeras-kerasnya perlakuan puak-puak pelampau yang terdiri daripada kumpulan atau individu yang mempercayai kepada pandangan dan tindakan radikal terhadap pihak lain.
"Saya berasa sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi.
"Apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini,” katanya di dalam entri terbaru bertajuk “Perjuangan Kita Terhadap Faham Pelampau” dalam blognya www.1malaysia.com.my di sini.
Najib berkata, kesedihan yang beliau rasakan itu adalah disebabkan golongan itu menolak cara hidup masyarakat di negara ini yang berbeza-beza serta menolak gagasan 1Malaysia.
Beliau berkata, ketika negara menyambut satu peristiwa penting dalam sejarah Malaysia esok (pembentukan Malaysia pada 16 September, 1963), terlalu banyak yang perlu dibanggakan kerana Malaysia kini sebuah negara yang sedang membangun dan cemerlang dalam banyak bidang seperti pelancongan, perbankan dan kewangan, hab halal, perubatan dan banyak lagi.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita mampu berperanan mengekang faham pelampau di tanah air kita dengan mendidik diri kita sendiri dan menyertai dialog yang sempurna dari segi pemikiran dan rasional.
"Maka kefahaman yang lebih mendalam mampu dicapai antara dua pihak yang berpandangan berbeza. Kita mesti memupuk kebijaksanaan kita untuk lebih terbuka kepada pandangan dan idea yang berbeza,” katanya.
Najib berkata, rakyat Malaysia mesti melatih diri untuk mengaplikasikan diplomasi dalam interaksi harian dengan orang lain dan perlu menerima 1Malaysia sebagai falsafah dalam menyelesaikan konflik kerana ia tentu akan memanfaatkan rakyat sebagai satu bangsa. – Bernama

No comments:

Post a Comment