Saturday, October 23, 2010

15 kes blog sebar fitnah dirujuk Peguam Negara


KUALA LUMPUR 22 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis sudah melengkapkan siasatan terhadap 15 kes melibatkan blog dan portal yang dikatakan menyiarkan fitnah dan tuduhan palsu.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, laporan siasatan kesemua kes itu juga sudah dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Jadi kita nak menekankan bahawa kerja-kerja siasatan dan susulan, beres di peringkat polis dan SKMM,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai desakan beberapa wakil UMNO negeri pada perhimpunan itu yang mendesak supaya kerajaan tidak lagi sekadar mengeluarkan amaran sebaliknya bertindak tegas terhadap blog penyebar fitnah dan tuduhan palsu.
Menurut Rais, kini terpulang kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada hendak memulakan pendakwaan terhadap blog dan portal berkenaan.
‘‘Saya turut bersetuju dan menyokong pandangan umum supaya penguatkuasaan undang-undang diperketatkan dan mereka yang bersalah dikenakan hukuman,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment