Saturday, October 23, 2010

Ancaman hakisan



MERSING - Sebanyak lapan buah rumah di Kampung Tanjung Balang, Pulau Tinggi bakal terjejas sekiranya masalah hakisan yang membelenggu di pesisir pantai sejak dua tahun lalu tidak diambil tindakan segera. 

Masalah hakisan menjadi bertambah buruk ekoran angin kencang dan ombak kuat pada musim tengkujuh. 

Tinjauan Sinar Harian mendapati berlaku hakisan teruk di pantai berkenaan, sehingga hampir ke kawasan rumah berdekatan. 

Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rahaman Ali, 53, melahirkan rasa bimbang akan hakisan tersebut yang menimpa penduduk di kampung itu, lebih-lebih lagi musim tengkujuh hampir tiba. 

Katanya, kejadian hakisan tersebut berlaku hampir 1.5 meter setahun hingga menyebabkan semakin hampir dengan kawasan penempatan penduduk. 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mok berkata, masalah tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak berwwajib beberapa bulan lalu dan masih menunggu maklum balas. 

“Saya harap pihak berkenaan mengambil langkah segera kerana dibimbangi masalah hakisan ini akan mengancam pula rumah dan keselamatan penduduk. 

“Terdapat hampir lapan buah rumah berada di kawasan ini dan mereka pernah melahirkan rasa bimbang dengan masalah itu. Mereka juga enggan berpindah kerana kawasan tersebut amat menarik untuk didiami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pulau Tinggi, di sini. 

Rahaman juga mencadangkan agar pihak berkaitan dapat membina benteng atau tembok, selain memudahkan bot-bot penduduk keluar masuk ke laut dengan selesa. 

“Sebelum ini pun sebahagian besar pantai di kampung ini telah dibina tembok penghalang hakisan, cuma di bahagian hujung kampung saja yang belum dibuat. 

“Saya memohon agar pihak berkenaan agar dapat mempercepatkan permohonan tersebut bagi mengelakkan kedatangan musim tengkujuh akan datang nanti,” ujarnya. 

Seorang penduduk, Shahruddin Ibrahim, 53, turut melahirkan rasa kebimbangan dan khuatir jika tidak diatasi segera, ia akan memberi kesan buruk di masa akan datang. 

“Saya mempunyai anak dalam golongan orang kurang upaya (OKU) dan sukar bergerak apatah lagi untuk berpindah ke tempat lain, Kami sekeluarga akan tetap tinggal di sini. 

“Cuma apa yang membimbangkan kami adalah hakisan yang berlaku dilihat semakin teruk dan bakal menjejaskan pada masa akan datang” katanya. 

Sudah hampir setahun, masalah hakisan membelenggu Pantai Teluk Ketapang yang terletak berdekatan Kampung Tok Jembal di sini. 

Keadaan itu menyebabkan kerosakan teruk bukan sahaja kepada pantai yang sering dikunjungi orang ramai tetapi infrastruktur yang dibina untuk mengindahkan kawasan tersebut. 

Masalah hakisan menjadi bertambah buruk ekoran angin kencang dan ombak kuat pada musim tengkujuh.

No comments:

Post a Comment