Saturday, October 23, 2010

'Arwah maklumkan kurang sihat'



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/10/23

Keluarga terkilan cita-cita Inani untuk jadi doktor tidak kesampaian 

KUALA LUMPUR: ‘Kami sekeluarga terkilan kerana hasrat untuk melihat arwah jadi doktor untuk bantu masyarakat tidak kesampaian,” kata bapa Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, pelajar Malaysia di Indonesia yang ditemui mati di rumah sewanya di Bandung, kelmarin.
Zainal Abidin Ismail, 50, berkata arwah anaknya itu sebelum ini berkobar-kobar serta tidak sabar menghabiskan pengajiannya dan lebih mengejutkan mereka tidak pernah melihat anak kedua daripada lima beradik itu berkelakuan pelik atau mengadu sakit yang teruk.
“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah Sabtu lalu ketika dia menghubungi untuk bertanya khabar. Dia hanya memaklumkan kurang sihat dan batuk. Saya tak sangka itu perbualan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Ridhwan, Kampung Pasir, di Ulu Kelang, semalam. 

Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi semalam dan dibawa ke Masjid Al-Ridhwan untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Jumaat. 

Pelajar tahun empat jurusan perubatan Universiti Padjadjaran, Bandung itu ditemui mati oleh rakan serumahnya kira-kira jam 5 pagi kelmarin, dipercayai mengalami sesak nafas. 

Zainal Abidin yang bekerja sebagai jurutera sebuah syarikat telekomunikasi di Papua New Guinea, berkata pihak hospital memaklumkan punca kematian anaknya kerana demam biasa dan mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku walaupun pemergian Inani amat mengejutkan. 
“Kami berterima kasih kepada rakan Inani yang banyak menjaga arwah sepanjang tempoh pengajian. Arwah anak yang baik dan mendengar kata. Setiap kali pulang ke rumah, dia akan menghabiskan masa bersama keluarga dan tidak suka berpeleseran di luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment