Saturday, October 23, 2010

Mahkamah tutup kes khalwat Norman, Memey





2010/10/23

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun perbicaraan kes khalwat pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey dijalankan, pihak pendakwaan semalam menutup kes berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini. 

Pendakwa Syarie, Nazri Basrawi menutup kes pendakwaan terhadap Norman Hakim atau Norhakim Zaidon, 34, dan Memey atau Suhaizah Suhaimi, 22, selepas selesai soal jawab dengan saksi terakhir, bekas Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Azhar Noordin, 42.
Ketika dihadapkan di mahkamah pada 21 Januari 2009, Norman dan Memey mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4/1A Jalan UP1, Taman Ukay Perdana Hulu Klang, di sini antara jam 1.45 pagi hingga 3 pagi, 30 Oktober 2008.
Pasangan yang baru bertunang bulan lalu itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. 

Terdahulu, Azhar dalam keterangannya, berkata beliau yakin melihat kelibat seorang lelaki berambut pendek ketika berada di bawah premis pada hari kejadian. 

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan peguam syarie mewakili pasangan itu, Fakhrul Azman Abu Hassan berhubung keterangan rakan setugasnya sebelum ini, Abdul Rahman Lai yang menyatakan tidak pernah melihat kelibat orang ketika berada di bawah bersama Azhar. 

“Saya tidak pasti pula jika Abdul Rahman Lai tidak nampak kelibat itu tetapi saya nampak dan pasti ia kelibat seorang lelaki yang juga tertuduh lelaki dalam kes ini,” katanya. 
Azhar bagaimanapun tidak berada di kedua-dua premis itu ketika serbuan dibuat dan memaklumkan beliau ke tingkat dua yang juga pejabat urusan milik Norman selepas rakan setugasnya selesai menyerbu bilik kecil yang menjadi tempat persembunyian pelakon lelaki itu. 

Hakim Syarie Salehan Yatim menetapkan 28 Januari tahun depan sebagai tarikh untuk pihak pendakwa memasukkan hujahan bertulis berhubung kes itu kepada mahkamah.

No comments:

Post a Comment