|
|
RANTAU PANJANG 22 Okt. - Seorang bapa sembilan anak memohon mana-mana pihak memudahkan pemberian rumah untuknya dan keluarga yang kini terpaksa tinggal di dalam rumah setinggan yang dibina di atas rizab tanah kerajaan, sejak beberapa tahun lalu.
Lukman Omar, 35, berkata, dia yang berasal Lobok Jong di sini pernah mengikuti temuduga dan lulus bagi mendapatkan sebuah rumah sumbangan satu badan kerajaan di Taman Tengku Anis Kota Baru tahun lepas.
Bagaimanapun permohonannya ditolak yang dipercayai ada hubung kait dengan desas-desus kononnya dia telah mempunyai rumah sendiri.
Hakikatnya, dia terpaksa membina rumah kayu yang hanya mempunyai satu bilik itu di atas rizab kerajaan kerana tidak mempunyai pilihan memandangkan pendapatan yang diperoleh diibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
"Memikirkan keadaan anak-anak dan isteri yang memerlukan tempat berlindung, saya terpaksa membina rumah setinggan di tanah rizab kerajaan walaupun sedar dengan risiko yang ditanggung.
"Upah di kebun getah penduduk Kampung Sungai Keladi dengan pendapatan di bawah RM500 sebulan dan hanya untuk cukup-cukup makan. Ia berdekatan dengan rumah setinggan yang saya bina sejak kelahiran anak ke empat lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Apa yang dikesalkan Lukman, namanya telah dikeluarkan daripada senarai permohonan bantuan perumahan hujung tahun lalu tanpa disoal siasat oleh pihak-pihak yang sepatutnya.
Sedangkan rumah yang ada sekarang betul-betul hampir dengan kawasan landasan kereta api dan berhampiran dengan kebun getah penduduk setempat sekali gus memberikan perlindungan sementara kepada anak-anak.
''Rumah yang saya bina umpama setinggan itu terlalu dekat dengan landasan kereta api dan agak jauh daripada sekolah, ia menyukarkan anak-anak saya ke sekolah dan mengurangkan tumpuan mereka," ujarnya.
Menurutnya, tiga daripada anak-anaknya bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.
''Saya tahu peritnya hidup dalam kemiskinan kerana tidak mempunyai pelajaran dan keadaan itu kalau boleh jangan diwarisi anak-anak. Sebab itu saya memohon rumah yang lebih banyak kemudahan supaya anak-anak dapat belajar dengan selesa," katanya.
No comments:
Post a Comment