Tuesday, October 26, 2010

Asyik kena saman

IPOH – Seramai 40 pemandu teksi di Kompleks Yik Foong mendesak sebuah perhentian dibina bagi memudahkan urusan mengambil dan menurunkan penumpang. 

Ketua Pusat Khidmat dan Biro Aduan MCA, Datuk Lee Kon Yin berkata, pihaknya akan menyiasat dan membuat kajian menyeluruh memastikan formula berkesan untuk mengatasi masalah itu. 

“Ini kerana pemandu teksi sering disaman Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan polis kerana memarkirkan kenderaan di hadapan bangunan kerana tiada tempat khas. 

“Pendapatan mereka turut terjejas kerana sukar mendapatkan penumpang dan perlu mengelak daripada disaman,” katanya di sini, semalam. 

Menurutnya, Ogos lalu satu siri perjumpaan dan perbincangan bersama Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim telah dilaksanakan untuk menyelesaikan perkara berbangkit. 

“Mereka (pemandu teksi) meminta supaya garisan kuning dipadamkan dan sebuah perhentian teksi dengan tanda khas diletakkan bagi memudahkan urusan seharian. 

“Kita juga akan mengadakan mesyuarat secara tertutup bersama kaunselor MCA dan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk mengatasi masalah ini,” katanya. 

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Lee Chee Leong, 66, berkata, pendapatannya terjejas kerana perlu mengelak daripada di saman pihak berkuasa ketika menunggu untuk mendapatkan penumpang. 

“Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ia telah berlanjutan sekian lama. 

“Ini bagi memudahkan pelanggan kami yang sering menggunakan perkhidmatan teksi di hadapan kompleks ini,” katanya yang memperoleh pendapatan kira-kira RM30 hingga RM40 sehari. 

Seorang lagi pemandu teksi, Chong Yuen Wai, berkata, tiada tempat khas untuk perkhidmatan teksi kepada penumpang telah menjejaskan pendapatan utamanya sejak 10 tahun.

No comments:

Post a Comment