Tuesday, October 26, 2010

Bapa kecewa permohonan sijil lahir tiga anak belum dilulus JPN



KOTA KINABALU 25 Okt. - Seorang bapa, Mohd. Sulaiman Ismail, 53, kesal kerana permohonan daftar lewat sijil lahir bagi tiga anaknya masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Keningau.
Menurutnya, dia telah mengemukakan lima permohonan sejak 1980 dan yang terakhir pada 5 Disember 2008 untuk anak-anaknya, Noraimah, 30: Hamidah, 29, dan Aisah, 24.
Menurutnya, alasan yang diberikan oleh kakitangan JPN daerah itu ialah borang permohonannya yang diserahkan kepada JPN negeri di Kota Kinabalu telah hilang.
''Saya berharap agar pihak JPN menyegerakan permohonan yang telah lama tertangguh ini. Disebabkan ini anak-anak saya hidup macam pendatang asing.
''Mereka tidak boleh buat MyKad kerana tidak ada sijil lahir," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Lebih menyedihkan katanya, disebabkan ketiadaan sijil lahir ketiga-tiga anaknya itu tidak dapat meneruskan persekolahan.
Jelasnya, mereka hanya sempat bersekolah sehingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Menawo, Keningau.
Sulaiman berkata, permohonan pertamanya yang dibuat pada 1980 ditolak kerana dia tidak menyertakan sijil pernikahannya kepada pihak JPN.
Katanya, selepas memperoleh sijil nikahnya dia mengemukakan semula permohonan untuk kali kedua pada tahun yang sama.
''Dalam tahun itu juga saya ke pejabat JPN daerah. Malangnya, kakitangan yang bertugas ketika itu memberitahu bahawa borang saya hilang. Justeru, saya terpaksa permohonan baru buat untuk kali ketiga.
''Apabila anak kedua saya lahir saya ke JPN lagi untuk mendaftar. Saya tanya mengenai permohonan sijil lahir anak sulung saya, Noraimah, mereka kata tidak dapat diproses kerana ia hilang di JPN Kota Kinabalu.
''Saya sabar dan buat semula permohonan bagi kali yang keempat pada 1981. Sehinggalah anak ketiga saya lahir pada 1986 masih tiada perkembangan positif," ujarnya.
Sulaiman berkata, akibat menunggu terlalu lama, dia akhirnya membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2008.

No comments:

Post a Comment