PETALING JAYA 25 Okt. - Biro Pengaduan Awam MCA negeri hari ini membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita, Malaysia Chronicle dan penulisnya kerana menerbit dan mengeluarkan satu artikel yang berunsur provokasi, Khamis lalu.
Artikel itu mengulas ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan agung parti tersebut di bawah satu tajuk kecil 'Pembersihan Kaum'.
Tajuk kecil itu di bawah artikel bertajuk 'Najib beri amaran - hancur badan, hilang nyawa, pembersihan kaum jika status quo tidak dijaga'.
Laporan dibuat oleh ketua biro itu, Datuk Theng Book di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, pukul 11.30 pagi dengan ditemani pembantunya.
Menurut Theng Book, di dalam laporan itu, Najib beri amaran kemungkinan berlaku pembersihan kaum seperti di Bosnia jika mana-mana parti terus mencabar dan mendebatkan status dan hak orang Melayu.
Jelasnya, bagaimanapun artikel itu berbeza dengan dimaksudkan Najib yang juga Perdana Menteri dalam ucapannya.
"Ia (artikel) itu dilihat boleh mencetuskan isu perkauman dan menggugat keamanan selain menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat negara ini yang membacanya kerana ia bersifat provokasi serta hasutan.
"Oleh itu, kita berharap agar pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung artikel tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya seperti mengikut Akta Hasutan 1948," katanya ketika ditemui di IPD Petaling Jaya di sini, hari ini.
Menurut Theng Book, artikel itu boleh dilayari di http://www.malaysia-chronicle.com/.
No comments:
Post a Comment